Fatah: Seruan Abbas untuk Pilihanraya Awal adalah Seruan ‘Gila’.


Selasa, 24/07/07 –

Sumber-sumber dari pimpinan gerakan Fatah menyebut seruan Presiden Mahmud
Abbas untuk menjalankan pilihanraya awal adalah seruan untuk “perang saudara lebih
awal”. Ini kerana ia tidak mungkin dilaksanakan dalam keadaan Palestin seperti
sekarang ini kecuali melalui kesepakatan politik umum atau paling tidak antara dua
fraksi terbesar Palestin iaitu Hamas dan Fatah.

Sumber dari pimpinan tertinggi Fatah yang tidak disebutkan identitinya, sebagaimana
disampaikan kepada pejabat berita Arab Quds Press, menganggap bahawa seruan
melaksankan pilihan raya lebih awal di Palestin adalah “langkah gila”, ia hanya
menambahkan masalah dan kerumitan menyelesikan isu Palestin.

Sumber ini mengatakan, “seruan pilihan raya lebih awal menyerupai kekacauan politik.
Ini kerana tidak ada seorang pun ahli politik yang berakal akan melaksanakan
pilihanraya ketika ini kecuali melalui kesepakatan politik umum, atau
sekurang-kurangnya antara dua fraksi utama Palestin iaitu antara Hamas dan Fatah.”
Menurutnya, mana-mana pihak sekali pun tidak mampu melaksankan pilihanraya ketika
ini walaupun pilihanraya peringkat kawasan atau bandar.

Sumber ini menyebutkan bahawa pilihan ini tidak mewakili pilihan umum Fatah namun
hanya mewakili pandangan segelintir ahli politik di sekitar Presiden Mahmud Abbas.
Sumber ini juga mengungkapkan, arahan yang dikeluarkan Abbas silih berganti itu
tidak mewakili pandangan Abbas secara khusus, namun mencerminkan pandangan kelompok
yang berkait dengan Muhammad Dahlan. Mereka adalah orang-orang yang mempunyai agenda
peribadi tanpa melihat kepentingan yang berkaitan dengan keadaan dalaman, serantau
dan antarabangsa. Tindakan mereka sudah diketahui oleh semua pihak.