
Khamis, 13/09/07 –
Khaled Al-Batesh, pemimpin kanan Jihad Islam di Semenanjung Gaza Rabu lalu menyatakan kepungan terhadap tentera rejim Zionis di Zikkim Selasa lepas adalah satu tindakan penentangan yang sah bagi menghadapi peningkatan pencerobohan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.
Batesh dalam satu kenyataan kepada media berkata askar-askar rejim Zionis tidak pernah berhenti menyerang terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat mahupun Semenanjung Gaza. Beliau menunjukkan jenayah pembunuhan terhadap pemimpin-pemimpin penentang dan orang awam yang tidak berdosa sewaktu proses penangkapan, pengepungan dan serangan mengejut mereka.
Pencerobohan Israel perlu dipertanggungjawabkan atas kesengsaraan semua penduduk Palestin, katanya dan mengimbas kembali penubuhan negara Yahudi itu merupakan punca rakyat Palestin dihalau daripada tanah air mereka.
Usaha penentangan tidak akan terhenti dan tiada siapa berhak untuk menghalang usaha ini selagi pencerobohan dan serangan Israel berterusan, tekan Batesh. Beliau menambah penentangan itu dilakukan oleh penduduk Palestin kerana hak mereka masih diceroboh.
Mengulas mengenai ancaman “tindakan balas keras” Zionis, beliau berkata “entiti Zionis” tiada justifikasi dan keperluan untuk meningkatkan serangan terhadap rakyat Palestin. Beliau menjelaskan askar-askar rejim Zionis melakukan jenayah setiap hari tanpa menghiraukan rakyat Palestin.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa sayap bersenjata puak-puak penentang tidak akan berdiam diri terhadap sebarang serangan yang dilakukan dan akan terus meningkatkan penentangan.