Tahanan Palestin Dibebaskan Dari Penjara Israel Positif COVID-19

Jumaat, 03-04-2020 – Seorang pemuda Palestin telah disahkan positif untuk penyakit Coronavirus (COVID-19) hanya satu hari selepas pembebasannya dari penjara Israel, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin pada hari Rabu.

Suruhanjaya itu berkata keputusan ujian perubatan terhadap tahanan baru Nour ed-Din Sarsour, dari bandar Beitunia di barat Ramallah, menunjukkan dia menghidap COVID-19.

Sarsour ditangkap pada 18 Mac lepas dan dibebaskan pada petang Selasa selepas menghabiskan tempoh tahanan di Penjara Ofer dan Pusat Penyiasatan Benjamin.

Suruhanjaya itu mempertanggungjawabkan pemerintahan Israel dan Perkhidmatan Penjara Israel ke atas apa yang disifatkan mereka sebagai suatu “jenayah”, dan menyatakan bahawa pihak berkuasa Israel tidak mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melindungi tahanan Palestin dari pandemik tersebut.

Pertubuhan Banduan Palestin mengatakan bahawa Sarsour berkongsi bilik penjara yang sama dengan 36 tahanan Palestin selama 12 hari.

Israel kini sedang menahan 5,000 orang warga Palestin, termasuk 43 wanita, 180 kanak-kanak, dan 700 pesakit di penjara mereka. Beberapa puak dan kumpulan hak asasi Palestin berulang kali menyeru Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah untuk campur tangan bagi memastikan keselamatan tahanan Palestin di kala wabak Coronavirus sedang melanda.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul