Categories
Berita Semasa

Ahli Parlimen Zahhar Bantah Undang-undang Israel Baru Bertujuan Merampas Gaji Tahanan

Jumaat, 24-04-2020 – Ahli Parlimen Palestin Mahmoud al-Zahhar menyifatkan undang-undang ketenteraan Israel yang baru mengenai penyitaan wang yang diperuntukkan untuk tahanan Palestin sebagai “pencabulan yang jelas ke atas undang-undang dan nilai-nilai hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.”

Dalam kenyataan media pada hari Selasa, Zahhar, seorang pegawai kanan Hamas, mengutuk kegigihan pihak berkuasa rejim Zionis dalam “menyasar dan memeras ugut tahanan Palestin dengan menggubal undang-undang yang bersifat perkauman yang bertujuan mematahkan semangat mereka dan menghukum mereka.”

Ahli Parlimen itu menegaskan bahawa Majlis Perundangan Palestin sama sekali tidak akan mengabaikan tahanan Palestin yang terpaksa berhadapan dengan penjajahan tersebut dan telah mempertaruhkan nyawa dan kebebasan mereka demi rakyat dan tanah air.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia untuk mendesak Israel supaya menghentikan sekatan mereka terhadap tahanan Palestin dan hak-hak mereka yang sah.

Media Ibrani pada hari Isnin lalu telah mendedahkan bahawa pemimpin tentera Israel di Tebing Barat yang terjajah baru-baru ini telah menandatangani perintah baru yang mengambil kira upah yang dibayar untuk “wang haram” tahanan Palestin.

Menurut saluran tujuh Israel, perintah ketenteraan ini akan berkuat kuasa mulai 9 Mei dan akan membolehkan Israel merampas upah tahanan dari bank atau mana-mana warga Palestin.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul