
Rabu, 26/12/07 – Gaza: Pihak Gerakan Perlawanan Islam, Hamas mengecam beberapa pertemuan yang dilakukan pimpinan Pemerintah Autoriti (PA) Palestin dengan pihak Rejim Zionis ‘Israel’ dalam situasi pihak penjajah tersebut masih terus melakukan pembunuhan terhadap bangsa Palestin, sama ada di Semenanjung Gaza mahu pun di Tebing Barat.
Dr. Sami Abu Zuhri, jurucakap Hamas,dalam pernyataan akhbarnya menyatakan beberapa pertemuan yang dilakukan dengan pihak Rejim Zionis ‘Israel’ ini “bukan bererti membebaskan tanggungjawab pemerintah PA dalam memberikan izin kepada pihak penjajah untuk terus melakukan kezaliman dan membangun wilayah Yahudi di atas tanah Palestin,” katanya sambil menambah bahawa pertemuan-pertemuan semacam itu adalah “memancing emosi dan menghinakan”.
Abu Zuhri mengatakan bahawa PA meletakkan masa depan dan rancangannya kepada pertemuan dan perundingan dengan pihak penjajah. “Namun perundingan ini tidak mendatangkan apa-apa kecuali memberikan dokongan atas kejahatan penjajah Rejim Zionis terhadap bangsa Palestin,” demikian tambah Abu Zuhri.
Menurut Abu Zuhri lagi, “Keberlangsungan kejahatan penjajah Rejim Zionis ‘Israel’ ini menunjukkan bahawa pihak penjajah telah memilih jalan perang pada masa sekarang ini, kerana lembabnya pihak antarabangsa, dunia Arab senyap membisu dan direstui oleh PA.” Beliau menegaskan bahawa “Kekuatan Palestin, khususnya Hamas dan Jihad Islami selalu berada di medan perang, siap siaga menghalang operasi militan Rejim Zionis ‘Israel’ dan melindungi bangsa Palestin. Ancaman dan peningkatan operasi militan seperti ini tidak akan mengendurkan semangat bangsa ini,” kata Abu Zuhri tegas.