Tahanan Palestin Lancar Mogok Lapar Di Penjara Israel


Rabu, 5-8-2020 –  Tahanan Palestin Khalil Abu Aram telah melancarkan mogok lapar di penjara Ashkelon, kata Persatuan Tahanan Palestin (PPS) pada hari Isnin.

PPS mengatakan bahawa mogok itu berlaku sebagai tindak balas kepada penangguhan secara sengaja oleh pihak Perkhidmatan Penjara Israel untuk membenarkan Abu Aram menemui anaknya Ahmad, yang telah dipenjarakan secara pentadbiran sejak September 2019 di Penjara Negev.

Menurut PPS, ini adalah satu-satunya kesempatan untuk Abu Aram, yang ditahan sejak tahun 2002 dan menjalani hukuman penjara seumur hidup, bertemu dengan anaknya, yang sudah bertahun tidak berjumpa dan dijadualkan untuk dibebaskan pada bulan September depan.

Abu Aram, seorang bapa kepada lima orang anak, telah menghasilkan sejumlah buku dan kajian selama tempoh beliau dipenjarakan bertahun-tahun.

Tahanan Palestin biasanya melakukan mogok lapar terbuka apabila pelbagai kaedah dialog dengan pihak berkuasa rejim Zionis gagal. Walaupun ia berkemungkinan mendatangkan mudarat kepada aspek psikologi dan fizikal kehidupan tahanan, ia tetap menjadi satu-satunya cara untuk mereka mendapatkan hak mereka.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul