
Rabu, 11-11-2020 – Persidangan elektronik Perintis Baitul Maqdis berakhir pada hari Ahad lalu dengan pengisytiharan penolakan pemulihan hubungan dengan Israel, melancarkan pelbagai projek dan menekankan pentingnya Al-Quds dan Masjid suci Al-Aqsa dalam konflik yang sedang berlangsung di wilayah itu.
Persidangan telah diadakan selama dua hari, di bawah slogan “Al-Quds adalah kepercayaan … normalisasi adalah pengkhianatan”, atas undangan Gabungan Antarabangsa Menyokong Al-Quds dan Palestin.
Para peserta telah membincangkan beberapa topik dan memfokuskan pada peranan negara-negara Islam dalam menyokong keteguhan rakyat Palestin, menghentikan usaha untuk menghapuskan perjuangan Palestin, menghadapi “perjanjian abad ini” dan menentang normalisasi.
Para perwakilan mengesahkan dalam pernyataan terakhir mereka bahawa mereka menolak normalisasi dalam semua bentuk.
Para peserta turut mendesak agar penderitaan para tahanan Palestin di penjara Israel diberikan perhatian sewajarnya.
Mereka menjelaskan bahawa musuh Zionis sedang mengalami kemunduran yang signifikan serta perpecahan dalaman, yang memerlukan negara-negara Islam untuk membina visi strategik yang bersepadu, rancangan dan perpaduan yang kukuh untuk menghadapinya, serta menangani kezalimannya.
Mereka menegaskan bahawa Tebing Barat adalah bahagian yang penting yang tidak boleh dipisahkan dari tanah suci Palestin dan tidak boleh diserahkan. Tambah mereka, semua projek penempatan Israel dan penyelesaian pembubaran adalah ditolak.
Mereka menekankan bahawa pemilihan Presiden baru di Rumah Putih tidak akan membuat perbezaan besar di peringkat strategik dalam hal perjuangan Palestin. Tidak ada perbezaan antara presiden Demokrat dengan presiden Republikan kerana Amerika Syarikat sentiasa menyokong rejim Zionis, tambah mereka.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul