Categories
Berita Semasa

Hamas Kecam Keputusan AS Melabel Produk Penempatan Sebagai “Buatan Israel”

Selasa, 24-11-2020 – Gerakan Hamas sekeras-kerasnya mengecam pengumuman AS bahawa produk dari penempatan haram di Tebing Barat yang dijajah akan diberi label “Buatan Israel.”

Dalam siaran media pada hari Sabtu, Hamas menyifatkan tindakan AS yang baharu ini sebagai “suatu lagi tindakan pencerobohan terhadap rakyat Palestin” dan “pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa,” dan memperingatkan bahawa ini akan memberi negara penjajah tersebut lampu hijau untuk mengilhak kawasan Palestin yang selebihnya.

Gerakan itu juga menyatakan kebimbangan mendalam atas kandungan pengumuman AS mengenai Gaza dan Tebing Barat sebagai “wilayah yang terpisah secara politik dan pentadbiran,” dan menekankan bahawa kedudukan tersebut mengiakan lagi peranan AS dalam menggalakkan perpecahan Palestin untuk melayani rancangan perluasan pihak penjajah.

“Keputusan berbahaya yang telah diambil dengan tergesa-gesa oleh pemerintah ini sebelum meninggalkan [Rumah Putih] mencerminkan ekstremisme dan niatnya untuk menerapkan sebuah kesalahan yang tidak dapat ditarik balik,” kata kumpulan Palestin itu.

Ia meminta pemerintahan AS yang bakal masuk “untuk membatalkan semua keputusan yang telah diambil dengan sewenang-wenangnya oleh pentadbiran Trump yang melanggar undang-undang antarabangsa untuk melayani Israel dan projek penaklukannya dan mempertaruhkan peluang untuk penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk konflik tersebut. “

Baru-baru ini, setiausaha negara AS yang akan keluar Mike Pompeo mengumumkan sejumlah keputusan yang memihak kepada Israel, termasuk pelabelan barangan yang dibuat di perkampungan Yahudi haram yang dibina di wilayah Palestin 1967 di Tebing Barat sebagai “Buatan Israel.”.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul