
Selasa, 15-12-2020 – Mahmoud Al-Zahhar, ketua blok Perubahan dan Reformasi parlimen Hamas, mengatakan bahawa pengisytiharan Maghribi untuk memulihkan hubungan dengan Israel adalah “tikaman beracun” bagi perjuangan Palestin dan seluruh negara Islam.
Semasa berucap di Majlis Perundangan Palestin (Parlimen) di Gaza pada hari Ahad lalu, Zahhar menegaskan bahawa normalisasi rejim Maghribi dengan penjajahan Zionis adalah pengkhianatan terhadap rakyat Palestin dan tujuan murni mereka.
Beliau mengatakan bahawa normalisasi ini juga merupakan pengkhianatan kepada para syuhada Maghribi yang telah mempertahankan tanah Kota Suci dan yang membinanya di dalam salah satu kejiranan Baitulmaqdis dan salah satu gerbang Masjid Al-Aqsa telah dinamakan sempena mereka.
Zahhar memberi penghormatan kepada rakyat Maghribi dan menghargai semua pendirian rakyat bebas di Maghribi, yang telah menyuarakan penolakan mutlak mereka terhadap normalisasi dengan Israel.
Beliau menganggap normalisasi dengan Israel sebagai “penyimpangan sepenuhnya oleh rejim normalisasi dengan penjajahan (Israel) dari nilai-nilai dan pendirian bangsa Arab dan negara Islam.”
“Normalisasi adalah ganjaran bagi penjajahan Zionis atas kezaliman mereka terhadap rakyat Palestin dan keganasan terhadap negara tersebut. Israel memanfaatkan perjanjian ini untuk meningkatkan keganasan berterusannya terhadap Baitulmaqdis dan Al-Aqsa, merampas tanah, mendirikan penempatan, menangkap wanita dan kanak-kanak, merobohkan rumah kediaman dan mengepung orang-orang Palestin yang tidak berdaya”, katanya.
Zahhar meminta rakyat Maghribi, dengan semua komponen dan kekuatan yang ada, untuk secara aktif menentang kezaliman normalisasi dan tidak menerima tawaran murah yang dibawa oleh Presiden AS Donald Trump dengan mengorbankan hak, pendirian dan kesucian negara umat Islam.
Beliau turut menggesa para cendekiawan negara Islam untuk mengambil pendekatan serius terhadap kezaliman normalisasi dengan “musuh utama bangsa ini.”
Beliau mengakhiri pernyataan tersebut dengan mengatakan, “Normalisasi dengan penjajah dengan mengorbankan kesucian salah satu negara Islam adalah pengkhianatan yang tinggi dan kezaliman terhadap agama kita, serta merupakan kejahatan ke atas politik, manusia dan moral yang bertujuan untuk melumpuhkan perjuangan Palestin dan memberikan kesahihan palsu kepada penjajahan Zionis di Baitulmaqdis, Al-Aqsa dan Palestin. “
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul