
Selasa, 26-01-2021 – Pejabat akhbar Jabatan Tahanan telah memberi amaran pada pagi Ahad lalu mengenai keadaan kesihatan tahanan Palestin yang dijangkiti coronavirus yang semakin merosot di Seksyen 8 penjara Ramon Israel.
Pejabat berkenaan mengesahkan bahawa keadaan tahanan di Seksyen 8 ini sangat buruk kerana mereka tidak mendapat rawatan perubatan yang diperlukan.
Perkhidmatan penjara Israel (IPS) menghalang penyediaan vitamin dan bekalan perubatan yang diperlukan untuk tahanan yang dijangkiti.
Pejabat itu menyatakan bahawa seorang anggota Lembaga Pemerintahan Tinggi untuk Tahanan Hamas, Muammar Al-Shahroury, dibawa dari Tulkarem ke Seksyen 8 penjara Ramon setelah dia dijangkiti coronavirus.
Pejabat itu meminta institusi-institusi hak asasi manusia dan antarabangsa untuk segera campur tangan untuk memastikan agar IPS menyediakan ubat-ubatan yang diperlukan oleh tahanan yang dijangkiti.
Tahanan yang dijangkiti diasingkan dalam keadaan tragis di kawasan pengasingan yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan minimum, tambahnya.
Jumlah tahanan di Ramon adalah lebih daripada 650 orang.
IPS telah mengabaikan kebajikan tahanan dan menghalang mereka daripada mendapatkan kemudahan kaedah perlindungan seperti pensteril, alatan pembersih dan topeng, yang memaksa tahanan membeli barang-barang ini dengan perbelanjaan mereka sendiri.
Menurut statistik rasmi, Israel menahan sekitar 4,200 orang Palestin di penjara mereka, termasuk 700 orang pesakit di mana 40 orang menderita penyakit kronik dan sepuluh daripadanya menderita barah di pelbagai tahap.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul