Hamas : Lawatan Bush Mengecewakan.

Khamis, 15/05/2008 –Pergerakan Hamas menyatakan bahawa lawatan Presiden AS George Bush ke wilayah Palestin yang diduduki sempena ulang tahun ke enam puluh Nakba Palestin telah mengguris perasaan penduduk Palestin dan merupakan satu kesinambungan sokongan buta untuk projek yang bersifat perkauman ini.

Dalam satu kenyataan akhbar yang diterima PIC, Fawzi Barhoum selaku jurucakap Hamas menegaskan harapan Amerika bagi kewujudan sebuah negara Yahudi di atas kehancuran impian penduduk Palestin untuk mendapatkan keadilan merupakan satu pukulan hebat bagi mereka yang percaya terhadap usaha mendapat semula hak-hak Palestin melalui rundingan dan memulihkan hubungan dengan Israel.

Jurucakap itu juga menggariskan bahawa lawatan Bush bukanlah diundang dan merupakan petanda yang buruk untuk penduduk Palestin serta menunjukkan Hamas tidak mengharapkan apa-apa daripada lawatan tersebut seolah-olah akan membawa keadilan untuk Palestin, bahkan lebih daipada itu dijangka bahawa lawatan itu akan diikuti oleh jenayah-jenayah Israel yang berterusan terhadap penduduk Palestin dan tempat-tempat suci mereka.