
Khamis,20-05-2021 – Lima pemuda Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan utara dan selatan Semenanjung Gaza pada petang Ahad lalu.
Menurut sumber tempatan, sebuah pesawat perang melepaskan dua peluru berpandu ke arah sekumpulan penduduk di jalan al-Zeitoun di Bandar Beit Hanoun di utara Gaza, dan membunuh tiga orang pemuda serta merta.
Dua belia juga terbunuh dalam serangan udara yang berasingan di Rafah di selatan Gaza.
Pada awal hari Isnin, tentera rejim Zionis telah melancarkan satu lagi serangan udara di Semenanjung Gaza, beberapa jam setelah perdana menteri Israel Benjamin Netanyahu mengancam akan melakukan lebih banyak pembunuhan di Gaza.
Letupan menggegarkan Kota Gaza dari utara ke selatan dalam pengeboman yang lebih berat, lebih luas dan berlangsung lebih lama daripada serangan udara yang mengorbankan sekurang-kurangnya 42 orang awam dan mencederakan puluhan lagi pada hari Ahad lalu.
Wartawan Pusat Maklumat Palestin (PIC) mengatakan bahawa lebih dari 120 serangan udara dilancarkan selepas tengah malam pada hari Isnin dan berlanjutan hingga waktu subuh dan pagi, yang mensasarkan kawasan berbeza-beza di kawasan berdekatan pantai, terutamanya Kota Gaza.
Serangan udara itu menggegarkan rumah-rumah kediaman dan menimbulkan rasa panik di kalangan orang awam dan keluarga, tambah wartawan PIC.
Beberapa rumah dan kemudahan orang awam juga telah dibom dan musnah dalam serangan waktu malam dan pagi, tetapi tidak ada maklumat segera mengenai jumlah yang terkorban.
Salah satu serangan di waktu pagi, yang dilaporkan dilancarkan dengan meriam pelancar, menghentam sebuah kilang span di utara Gaza, menyebabkan kebakaran di tempat tersebut.
Anggota bomba bergegas ke lokasi untuk memadamkan api, menyebabkan asap berkepul-kepul.
Sementara itu, api merebak melalui kawasan tanah pertanian di daerah Zalata di sebelah timur Rafah (selatan Gaza) setelah pasukan Israel melepaskan beberapa pelancar ke arah rumah kediaman orang awam yang berdekatan.
Anggota bomba dihantar ke lokasi tersebut dan telah mula mengawal kebakaran, tetapi pengeboman artileri yang berlanjutan di kawasan berkenaan memaksa mereka untuk berundur.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul