Pelampau Yahudi merobohkan kawasan bersejarah di Kota Lama Al-Khalil

Khamis,10-06-2021 – Puak pelampau Yahudi telah merampas dan merobohkan kawasan kejiranan penduduk Palestin yang berhampiran Masjid Ibrahimi di Kota Lama al-Khalil di Tebing Barat.

Pegawai kanan Jawatankuasa Pembinaan al-Khalil, Tawfik Jahshan mengatakan bahawa puak pelampau ini telah mendapat pelindungan ketenteraan untuk melakukan pencerobohan di kawasan tanah seluas 400 meter persegi dengan menggunakan jentolak. Kawasan yang berhampiran dengan Masjid Ibrahimi ini dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Hosh Qafisha dan Sharif. Kawasan Kota Lama al-Khalil ini telah menjadi sasaran pihak Yahudi untuk memilikinya.

Jahshan menyeru dan meminta masyarakat antarabangsa dan negara anggota UNESCO untuk berjuang melindungi hak, harta benda, barangan antik dan warisan rakyat Palestin yang terdapat di Kota Lama ini daripada pelanggaran Israel.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Shuhada Sayuti