Categories
Berita Semasa

Hamas Perbaharui Rayuan Kepada Arab Saudi Untuk Membebaskan Tahanan Palestin

Isnin,14-06-2021 – Gerakan Hamas telah memperbaharui rayuannya kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk membebaskan Mohamed al-Khudari dan anak lelakinya, serta tahanan Palestin yang lain yang berada di penjara mereka.

Dalam siaran media pada hari Selasa, pegawai kanan Hamas Ra’fat Murra menyifatkan penahanan Khudari dan rakyat Palestin yang lain di penjara Saudi sebagai “ketidakadilan yang melampau” dan “suatu penghinaan terhadap rakyat Palestin, perjuangan keadilan mereka dan hubungan Palestin-Saudi. “

Murra meminta kepemimpinan Saudi “mengambil keputusan yang berani dan bertanggungjawab untuk membuat perubahan, segera mengakhiri perbicaraan ini dan membenarkan para tahanan kembali ke pangkuan keluarga mereka, kerana para tahanan berkenaan tidak melakukan apa-apa kesalahan.”

“Dr. Khudari, rakan-rakan tahanannya dan keluarga mereka telah mengalami banyak ketidakadilan dan penderitaan selama lebih dari dua tahun, maka tindakan harus diambil untuk mengakhiri ketidakadilan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga tersebut,” kata pejabat Hamas.

Sementara itu, warga Palestin berusia 83 tahun, Mohamed al-Khudari, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Khas di Riyadh (mahkamah mencegah keganasan Arab Saudi) pada hari Selasa.

Khudari, yang menderita masalah kesihatan yang serius, diadili bersendirian atas tuduhan yang direka-reka di bawah undang-undang pencegahan-keganasan.

Perbicaraan hukuman dijadualkan akan diadakan pada 21 Jun untuk berpuluh-puluh orang rakyat Palestin dan Jordan, termasuk Khudari dan anaknya Hani.

Pada tahun 2019, pihak berkuasa keselamatan Arab Saudi melakukan tindakan keras yang tidak berasas terhadap warga Palestin, dan menahan berpuluh-puluh orang termasuk doktor, jurutera dan peniaga di seluruh negara. Sebilangan besar tahanan telah tinggal di Arab Saudi selama berpuluh-puluh tahun.

Antara yang ditahan adalah pegawai Hamas, Mohamed al-Khudari, 83, dan anaknya Hani, 49. Mereka ditahan pada 4 April 2019. Khudari bekerja selama beberapa dekad sebagai wakil Hamas di Arab Saudi tanpa sebarang masalah dengan pegawai negara tersebut. Dia meletakkan jawatan bertahun-tahun yang lalu kerana sakit dan usia tua.

Pihak berkuasa Arab Saudi membuat tuduhan bahawa sebahagian besar tahanan berkenaan terlibat dalam aktiviti dan kerja-kerja amal untuk menyokong rakyat dan negara mereka.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul