
Rabu,16-06-2021 – Beberapa warganegara Palestin dari kejiranan al-Bustan di daerah timur Baitulmaqdis, Silwan menerima saman dari perbandaran Israel di Baitulmaqdis Yang Diduduki supaya hadir untuk disoal siasat pada hari Selasa pagi.
Saman berkenaan disampaikan oleh kakitangan perbandaran yang dikawal oleh pasukan polis kepada pemilik rumah yang enggan mematuhi perintah mahkamah Israel untuk meruntuhkan rumah kediaman mereka yang dikeluarkan bertahun-tahun yang lalu.
Rumah-rumah kediaman berkenaan, yang diancam akan dirobohkan di al-Bustan, telah dibina beberapa dekad yang lalu dan beratus-ratus penduduk Palestin tinggal di dalamnya.
Fakhri Abu Diyab, anggota Jawatankuasa Pertahanan Tanah Silwan, memberi amaran bahawa pihak berkuasa rejim Zionis menginginkan kejiranan al-Bustan yang seluas 70 dunum, yang merupakan harta milik umat Islam sejak zaman Khalifah Othman, memberitahu bahawa kawasan kejiranan tersebut terletak kira-kira 300 meter dari tembok selatan Masjidil Aqsa.
Abu Diyab menuduh rejim ZIonis terus-menerus berusaha untuk mengusir penduduk tempatan Palestin dan menghalau mereka dari kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa untuk meluaskan penguasaan mereka ke atas seluruh kawasan di sekitar kawasan suci itu sebagai langkah awal untuk membangun taman alkitabiah.
Dia menegaskan bahawa terdapat 100 rumah yang diancam pengusiran di kawasan berkenaan atas alasan mereka dibina tanpa izin, walaupun sebilangan besar dari mereka telah dibina sebelum penjajahan Israel di Baitulmaqdis.
“Pihak penjajah cuba menggambarkan serangan [di al-Bustan] sebagai isu undang-undang, tetapi yang sebenarnya ia adalah serangan ideologi politik yang bertujuan mengusir orang-orang Baitulmaqdis dari daerah sekitar Masjid Al-Aqsa, mematahkan semangat mereka dan melemahkan mereka, sebagai sebahagian daripada dasar pembersihan etnik dan rencananya untuk mewujudkan kesesuaian baru dan ketidakseimbangan demografi yang memihak kepada penjajah,” kata pegawai tempatan itu.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul