Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis Rampas Rumah Bergerak, Ancam Akan Robohkan Kediaman dan Bangsal di Bethlehem

Rabu, 23-06-2021 – Selasa lalu Rejim Zionis merampas sebuah rumah bergerak dan menyampaikan notis perobohan ke atas sebuah rumah yang masih dalam pembinaan dan sebuah kandang ternakan di pelbagai kawasan di Betlehem.

Pegawai tempatan Hasan Berejiya mengatakan bahawa rejim Zionis menyerbu kawasan Khallet an-Nahla berhampiran perkampungan Palestin Wadi Rahal dan penempatan haram Efrat dan merampas sebuah rumah pasang siap milik seorang penduduk tempatan.

Berejiya menambah bahawa wilayah Khallet an-Nahla menjadi sasaran pihak berkuasa rejim Zionis dengan tujuan untuk membangun atau memperluas kawasan penempatan Yahudi. Baru-baru ini, tentera Israel menumbangkan berpuluh-puluh batang pokok zaitun yang sedang berbuah, memusnahkan tanah milik Palestin, dan merobohkan beberapa tembok penahan di kawasan tersebut.

Semasa beberapa kejadian sebelumnya, peneroka yang tinggal di penempatan haram berdekatan juga membuat kacau di merata-rata kawasan yang ditanam dengan beberapa jenis tanaman yang berbeza dan melancarkan serangan terhadap penduduk tempatan dan kediaman mereka.

Sementara itu, tentera rejim Zionis pada hari yang sama memberitahu penduduk kota Battir di sebelah barat Bethlehem, tentang niat mereka untuk merobohkan sebuah rumah kediaman yang sedang dibangunkan dan sebuah kandang ternak.

Salah seorang pemiliknya, Mohamed ash-Shawli, mengatakan bahawa pasukan rejim Zionis menyerbu kawasan ash-Sharfa di kota Battir dan menyerahkan notis perobohan ke atas sebuah rumah setingkat yang belum selesai miliknya dan satu notis lain ke atas kandang ternakan milik sepupunya Mohamed Ayesh.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul