
Isnin, 02-08-2021 – Pihak berkuasa penjara Israel pada hari Isnin lalu telah menyerbu beberapa bilik tahanan di penjara Ofer dan Ramon, mengasari beberapa tahanan Palestin, mengasingkan salah seorang dari mereka dan memindahkan empat yang lain ke tempat penahanan yang berbeza.
Menurut Persatuan Tahanan Palestin (PPS), pihak berkuasa Israel telah menyerbu dengan ganas bilik-bilik tahanan di bahagian 14 penjara Ofer dan mengheret seorang tahanan ke bilik pengasingan.
PPS tidak menyatakan identiti tahanan yang telah diasingkan itu mahupun mendedahkan samada tahanan tersebut sedang menjalani mogok lapar.
Akibatnya, para tahanan di Ofer telah menutup semua bahagian sebagai bantahan atas tindakan Israel yang sewenang-wenangnya itu.
Sementara itu, pasukan Israel telah mengasari empat tahanan yang bermogok lapar di penjara Ramon dan memindahkan mereka ke tempat tahanan lain.
Keempat-empat tahanan, yang telah mengadakan mogok lapar selama 12 hari, adalah Mahmoud al-Fasfous, Guevara an-Nammoura, Ra’fat ad-Darawish, dan Kayed al-Fasfous. Mereka masing-masing dipindahkan ke tahanan pengasingan di penjara Beersheba, Ashkelon, Ohli Kedar, dan Ramla.
10 tahanan Palestin yang lain juga sedang melakukan mogok lapar terbuka selama beberapa hari sebagai bantahan terhadap penahanan pentadbiran mereka, yang dilakukan tanpa dakwaan atau perbicaraan.
Sebilangan besar tahanan pentadbiran yang terdiri daripada hampir 540 orang Palestin, adalah bekas tahanan yang telahpun menghabiskan masa bertahun-tahun di penjara Israel.
Penahanan pentadbiran adalah di mana tahanan dipenjara tanpa perbicaraan atau tuduhan. Ia digunakan secara meluas oleh Israel terhadap rakyat Palestin semata-mata dengan alasan seseorang itu merancang untuk melakukan kesalahan di masa hadapan. Ia tidak mempunyai had masa, dan adalah berdasarkan fail-fail yang kononnya rahsia.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul