Sharon arah pertingkat serangan di Gaza


Baitul Muqoddis, Selasa, 12/10/2004 – Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon semalam menolak cadangan panglima tenteranya supaya menamatkan serangan ke atas Gaza malah mengarahkan operasi di kawasan itu dipertingkatkan.


Perdana Menteri itu memutuskan tindakan mengurangkan serangan tentera ke atas Gaza akan menggalakkan pejuang Palestin meneruskan serangan roket ke atas kawasan penempatan Yahudi.

Beliau juga tidak mahu tindakan mengundurkan tentera itu dilihat sebagai tunduk kepada tekanan berikutan serangan ke atas pusat peranginan di Taba, Mesir yang menyaksikan ramai pelancong Israel terbunuh, kata sumber semalam.

Arahan Sharon untuk meneruskan kempen sejak 12 hari itu juga kelihatan bertujuan untuk memujuk kumpulan pelampau Yahudi supaya menyokongnya menjelang ucapan pentingnya di Knesset berhubung pelan pengunduran dari Gaza tahun depan.

Pegawai kanan tentera sebelum ini dilaporkan bertemu dengan Sharon bagi menjelaskan operasi mereka di Gaza sudah mencapai matlamat utamanya dan berjaya menghalang serangan roket Palestin.

Bagaimanapun Sharon berkeras menyatakan mahu menghancurkan sepenuhnya kumpulan pejuang Palestin sebelum pengunduran tentera dan penduduk Yahudi dari kawasan itu tahun depan, lapor akhbar Haaretz.

Kebanyakan operasi tertumpu di kawasan kem pelarian Jabaliya di utara Gaza.

Bagaimanapun, Haaretz memetik seorang pegawai kanan sebagai berkata, ramai tentera membantah tindakan mendedahkan mereka kepada risiko yang tidak perlu menerusi tindakan terus kekal di kem yang padat penduduk Palestin itu.

Sekurang-kurangnya 111 rakyat Palestin kebanyakannya orang awam dan kanak-kanak terbunuh di Gaza sejak permulaan serangan berkenaan pada 28 September lalu.

Sumber hospital menyatakan dua lagi penduduk Palestin meninggal dunia semalam akibat kecederaan yang dialami ketika serangan tentera Israel. ? Reuters/AFP

Sharon = Pembunuh Rakyat Palestin