Kerry enggan berurusan dengan Yasser Arafat


Florida, Selasa, 12/10/2004 – Calon presiden Demokrat, John Kerry, Sabtu lalu memberi amaran tidak akan berurusan dengan pemimpin Palestin, Yasser Arafat, jika memenangi pilihan raya 2 November ini.

Dalam satu kenyataan keras yang dibuatnya di Florida, Kerry, juga berjanji mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana negara di Asia Barat yang menyokong kumpulan pejuang seperti Hamas dan Hizbullah.

Kerry turut memuji Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, kerana rancangan ?berani? untuk berundur dari Semenanjung Gaza.

Namun, dua hari selepas pengeboman di pusat peranginan Sinai di Mesir yang mengorbankan 32 orang, kebanyakannya rakyat Israel, Kerry menyifatkan Israel diserang.

?Pejuang cuba menimbulkan kekacauan dengan Israel kerap diserang, kanak-kanak di dalam bas diletupkan, orang ramai duduk di dalam restoran, cuba untuk meneruskan kehidupan.

?Sudah lama kita berada dalam keadaan ini. Arafat membuktikan dia tidak mampu bertindak sebagai rakan dalam proses damai,? katanya.

Kerry juga menegaskan, tugasnya sebagai presiden, jika memenangi pilihan raya, akan ?memastikan negara Arab yang masih menyokong kumpulan pejuang Hamas, Hizbullah, Briged al-Aqsa dan lain-lain akan bertanggungjawab? di atas tindakan mereka.

?Saya tidak bertolak ansur dalam perkara itu,? katanya dalam perhimpunan di pusat masyarakat di Mukim Broward yang menyaksikan peningkatan peratusan pengundi Yahudi.

Presiden Amerika George W Bush, sebelum ini menimbulkan kemarahan sekutunya di Eropah dan Asia Barat apabila enggan berurusan dengan Arafat dengan berkata pemimpin veteran Palestin itu mempunyai kaitan dengan keganasan dan tidak boleh dipercayai untuk berunding mengenai keamanan.

Jumaat lalu, dalam perdebatan presiden kedua di Missouri, Bush mengulangi kecamannya terhadap Arafat.

?Saya tidak akan berurusan dengan Arafat kerana berasa dia mengecewakan bekas presiden dan saya tidak rasa dia mampu mengetuai negara Palestin.

?Penduduk Eropah tidak suka dengan keputusan ini tetapi ia adakan tindakan tepat untuk dibuat. Saya percaya penduduk Palestin perlukan sebuah negara dan saya tahu mereka juga perlukan kepimpinan yang bersungguh-sungguh ke arah demokrasi dan kebebasan, kepimpinan yang menolak keganasan,? katanya.

Kerry berkata, keutamaan Presiden Amerika Syarikat ialah untuk membantu mewujudkan keadaan bagi membolehkan pemimpin Palestin muncul iaitu seseorang yang boleh dipercayai untuk mencipta keamanan dengan Israel.

Dia, bagaimanapun tidak menyatakan maklumat lanjut mengenai perbezaan rancangannya dengan Bush yang mengelakkan memainkan peranan langsung di tengah-tengah ketegangan Palestin-Israel seperti presiden terdahulu, Bill Clinton.