Badran: Hamas Tidak Akan Terus Berdiam Diri Dalam Isu Sekatan Gaza

Isnin, 10-01-2022 – Anggota biro politik Hamas, Husam Badran telah menegaskan bahawa pihak penentang Palestin itu tidak akan terus berdiam diri dalam isu sekatan Israel di Semenanjung Gaza.

Dalam kenyataan akhbar kepada agensi berita Anadolu pada hari Rabu, Badran berkata bahawa hari-hari mendatang akan membuktikan kepada semua orang bahawa pihak penentang itu tidak akan mengecewakan rakyatnya, sambil menambah bahawa “kepimpinan penentang menghantar mesej jelas bahawa Pedang Baitulmaqdis masih terhunus.”

Beliau menegaskan bahawa semua percubaan Israel untuk mengelak persefahaman terakhir mengenai gencatan senjata ke atas Gaza tidak akan berhasil, sambil menambah bahawa Hamas sentiasa berhubung dengan Mesir dan beberapa orang tengah untuk meredakan sekatan ke atas Gaza.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa hubungan Pergerakannya dengan pengantara masih belum membuahkan sebarang kemajuan ketara atau jelas yang boleh dirasai oleh penduduk Gaza, terutamanya berkaitan usaha pembinaan semula.

Pegawai Hamas itu mengulangi penolakan pergerakan tersebut terhadap sebarang prasyarat Israel untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan di Gaza atau mengadakan perjanjian pertukaran tahanan.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul