Categories
Berita Semasa

PPS: Keadaan Kesihatan Banduan Abu Hamid di Tahap Kritikal

Selasa, 11-01-2022 – Persatuan Banduan Palestin (PPS) berkata pada hari Ahad bahawa kesihatan banduan yang diserang kanser Nasser Abu Hamid sudah merosot ke tahap kritikal.

Dalam kenyataan Facebook mereka, PPS berkata bahawa penjara Israel memberitahu banduan di penjara Ashkelon, tempat Abu Hamid ditempatkan sebelum dia dibawa ke Hospital Barzilai, bahawa “nyawanya berada dalam sangat bahaya.”

PPS menambah bahawa apa yang dikatakan oleh penjaga penjara itu menunjukkan bahawa kesihatan Abu Hamid menjadi lebih teruk.

Banduan Abu Hamid mengalami demam yang sangat tinggi beberapa hari lalu dan telah dipindahkan segera ke hospital.

Dia menghidap kanser paru-paru dan baru-baru ini mula mengambil dos kemoterapi selepas pihak Israel sengaja melengah-lengahkan serta mengabaikan keperluan perubatannya. 

Bagaimanapun, menurut doktor yang mengawasi keadaannya, Abu Hamid menghidap radang paru-paru akut akibat jangkitan kuman yang menyebabkan kegagalan paru-paru dan koma.

Abu Hamid, 49 tahun dari kem pelarian al-Am’ari di Ramallah, telah dipenjarakan sejak 2002, menjalani tujuh hukuman penjara seumur hidup dan tambahan 50 tahun penjara.Beliau mempunyai empat saudara lelaki yang juga menjalani hukuman penjara seumur hidup.  

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul