Jet Israel serang masjid


Baitul Muqoddis, Selasa, 12/10/2004 – Jet Israel menyerang sebuah masjid di kem pelarian Jabaliya, utara Gaza menyebabkan rumah ibadat itu dan beberapa bangunan berhampiran rosak teruk, menurut laporan semalam.

Pusat penerangan Palestin melaporkan, helikopter Israel melepaskan beberapa peluru berpandu ke atas Masjid Khulafa Rashidun awal pagi kelmarin, menyebabkan kemusnahan teruk pada bahagian dalaman bangunan itu.

Sumber berkata, banyak al-Quran dan buku agama terbakar dalam serangan itu.

Tentera Israel mengakui masjid itu menjadi sasaran kerana mendakwa ia sering dijadikan markas kumpulan pejuang Palestin.

Sebelum ini, tentera Israel sudah banyak memusnahkan atau merosakkan masjid di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Serangan ke atas masjid itu berlaku ketika beribu tentera Israel yang dibantu kereta kebal dan kereta perisai meneruskan gerakan membunuh dan mengganas di utara Gaza untuk hari ke-12 berturut-turut.

Kempen ganas Israel setakat ini sudah mengorbankan lebih daripada seratus penduduk Palestin, kebanyakannya orang awam yang tidak berdosa terutamanya kanak-kanak.

Minggu lalu, Amerika Syarikat menggunakan kuasa pembatalnya bagi menghalang Majlis Keselamatan membuat keputusan mengutuk dan menuntut Israel menghentikan operasinya di wilayah Palestin yang diduduki.

Ramai pemerhati dan penganalisis Asia Barat mengaitkan serangan bom ke atas pusat pelancongan Mesir di Taba dengan operasi berterusan kekejaman di Gaza.