Jentolak rejim Zionis Israel diletupkan


Gaza, Selasa, 12/10/2004 – Salah sebuah jentolak milik rejim Zionis Israel yang digunakan untuk merobohkan rumah-rumah di utara Gaza telah berjaya dimusnahkan oleh para pejuang Palestin dalam usaha mereka menghalang kemaraan pihak rejim merobohkan rumah-rumah milik warga Palestin di utara Gaza.


Dua fraksi pejuang Palestin, Barisan Demokrasi Palestin dan juga Briged al-Aqsa, sayap tentera kumpulan Fatah mengaku bertanggung jawab di atas operasi yang mereka sifatkan sebagai berjaya di Bait Hanun, Gaza.

Operasi yang dilakukan pada jam 10:35 pagi, hari Isnin, 11/10/2004 itu merupakan salah satu daripada operasi bersama dua fraksi tersebut. Menurut para pejuang Palestin dari pelbagai fraksi, pendekatan menjalankan operasi bersama merupakan salah satu daripada teknik terkini para pejuang untuk memberikan mesej kepada rejim Zionis Israel bahawa rakyat Palestin sentiasa bersatu di dalam menentang penjajahan rejim.

Kedua-dua fraksi tersebut, di dalam kenyataan akhbar mereka sejurus operasi tersebut menegaskan bahawa perjuangan akan diteruskan sehinggalah kemerdekaan sebenar bumi Palestin dicapai.