Categories
Berita Semasa

Pembunuhan Beramai-ramai Di Tel Al-Hawa

Khamis, 02-11-2023 – Pertahanan Awam Palestin melaporkan pada hari Isnin bahawa serangan Israel ke kawasan Tel al-Hawa, di selatan Bandar Gaza, dianggap sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan bangsa.’

Mahmoud Basal, jurucakap Pertahanan Awam, berkata semasa sidang akhbar, “Beratus-ratus bom dijatuhkan ke Tel al-Hawa, dan kami menghadapi kesukaran untuk melakukan kerja kami. Seluruh kawasan sekitar Hospital Al-Quds, Jalan 8 dan Jalan 10 telah menjadi sasaran.”

Kata Basal lagi, “Apabila kami cuba memberi bantuan, kami dijadikan sasaran, maka kami terpaksa meninggalkan kawasan tersebut.”

Sejak 24 hari lalu, tentera penjajah telah melakukan serangan udara intensif ke kawasan perumahan di Gaza, mengakibatkan kematian 8,306 rakyat Palestin, termasuk 3,457 kanak-kanak dan 2,136 wanita, menurut Kementerian Kesihatan.

Di Tebing Barat, 122 rakyat Palestin telah terbunuh sejak 7 Oktober, dan tentera Israel sedang menjalankan kempen tangkapan meluas yang telah memberi kesan kepada kira-kira 2,000 rakyat Palestin, menurut sumber rasmi Palestin.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Nur Azyyati Abdullah