Categories
Berita Semasa

Afrika Selatan dalam proses menutup kedutaan Israel.

Khamis, 23-11-2023 – Parlimen Afrika Selatan telah mengundi untuk menyokong usul yang meminta penutupan kedutaan Israel di Pretoria dan penggantungan hubungan diplomatik kerana ketegangan yang meningkat antara kedua-dua negara berikutan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Usul yang meminta penutupan kedutaan dan penggantungan semua hubungan diplomatik sehingga gencatan senjata dicapai telah diluluskan pada hari Selasa dengan 248 undi menyokong dan 91 undi menentang.

Langkah ini diperkenalkan oleh parti pembangkang sayap kiri, Economic Freedom Fighters, dengan sokongan daripada parti pemerintah African National Congress dan dibantah oleh ahli-ahli parti Democratic Alliance yang majoritinya berkulit putih dan berhaluan tengah, dan kebanyakannya menyokong Israel.

Presiden Afrika Selatan, Matamela Ramaphosa, sebelum ini mengumumkan bahawa negaranya telah mengemukakan aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC – International Criminal Court) untuk menyiasat “jenayah perang” yang dilakukan oleh proses penjajahan Israel di Semenanjung Gaza.

Ramaphosa menyatakan bahawa negaranya percaya bahawa Israel sedang melakukan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza di mana ribuan orang-orang Palestine telah dibunuh, selain daripada pemusnahan hospital dan infrastruktur awam.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Aida