Categories
Berita Semasa

14,352 kematian dalam masa 47 hari

Isnin, 27-11-2023 – Angka kematian rakyat Palestin akibat pencerobohan berterusan Israel di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 14,352 sejak 7 Oktober, dedah Pejabat Media Kerajaan (GMO) dalam sidang akhbar pada petang Rabu.

Lebih 6,000 kanak-kanak dan 4,000 wanita adalah antara mangsa yang dilaporkan, dengan lebih 33,000 yang lain cedera.

Menurut GMO, lebih 69 peratus daripada jumlah korban adalah wanita dan kanak-kanak, sambil menambah bahawa Israel melakukan sejumlah 1, 384 operasi pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza.

GMO menegaskan bahawa seramai 205 kakitangan kesihatan, 25 anggota pertahanan awam, dan 64 orang wartawan terbunuh dalam serangan Israel.

Dianggarkan sebanyak 102 buah ibu pejabat kerajaan dimusnahkan beserta 266 buah sekolah, di mana 67 buah sekolah tidak lagi beroperasi.

Dalam serangan yang sama, 85 buah masjid musnah sepenuhnya, dan 174 buah masjid rosak sebahagiannya, manakala tiga buah gereja turut menjadi sasaran.

GMO menambah bahawa 26 buah hospital dan 55 pusat kesihatan telah menghentikan operasi di Gaza akibat serangan Israel dan kekurangan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan penjana kuasa. 56 buah ambulans juga menjadi sasaran dalam serangan ganas itu.

Ini disertai dengan pengeboman besar-besaran yang menghancurkan dan memusnahkan seluruh blok kediaman dan kawasan kejiranan. Sebanyak 45,000 unit rumah musnah sepenuhnya, manakala 233,000 unit rumah rosak sebahagiannya.

GMO menyatakan Israel dan masyarakat antarabangsa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza, menyeru dunia lebih berani untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan perang berdarah ini.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Suwaibah