Categories
Berita Semasa

Usaha Israel menghapuskan penentangan Hamas di Gaza adalah sia sia – Abdul-Hakim Hanini

Isnin, 18-12-2023 – Pegawai kanan Hamas, Abdul-Hakim Hanini, memaklumkan bahawa pertempuran sengit di Gaza dan Jenin serta keberanian dan kejituan semangat pejuang di sana sekali lagi membuktikan kepada semua orang di serata dunia bahawa usaha untuk membasmi penentangan adalah bayangan yang tidak akan tercapai.

Hanini menegaskan dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa bahawa penentangan Palestin setiap hari menunjukkan sesuatu yang baru berkaitan kemampuannya untuk menghadapi pencerobohan Israel dan pasukan penjajahnya, juga untuk mempertahankan tanah air mereka dan Masjid Al-Aqsa, serta bersedia untuk semua kemungkinan, walau apa pun harganya.

Beliau menekankan bahawa persiapan yang memakan masa bertahun-tahun di medan latihan tidak sia-sia, merujuk kepada kemampuan perjuangan aras tinggi dalam mengemudi serangan dan mengejutkan musuh di semua wilayah.

Hanini menggesa rakyat Palestin keseluruhannya untuk terus mara ke depan dan berwaspada dalam menghadapi serangan pasukan kependudukan Israel (IOF) dan para setinggannya, untuk tetap teguh dalam menghadapi segala konspirasi untuk meleburkan isu Palestin, dan untuk percaya terhadap kemampuan mereka dalam mengatasi cabaran dan krisis di atas jalan menuju satu kebebasan mutlak.

Pegawai kanan Hamas itu memuji rakyat di Jenin dan kem pelarian mereka atas keteguhan dan keutuhan yang tidak pernah goyah, dan penentangan, yang dipimpin oleh Briged Al-Qasam, iaitu sayap bersenjata Hamas, atas keberanian dan kegagahan mereka dalam menangkis pencerobohan Israel.

IOF telah meneruskan kempen ketenteraan berskala besar mereka di Jenin dan kem pelariannya, di mana mereka menahan sejumlah pemuda, sementara mengebom sebuah lokasi di kawasan Al-Sibat, di bandar lama Jenin, serta meledakkan sebuah rumah di kawasan Jourat al-Dahab berhampiran kem tersebut.

Pertembungan dan pertempuran sengit berlaku antara pasukan Israel dan pejuang penentang, yang mensasarkan kenderaan IOF dengan bom buatan sendiri dan menembak peluru ke arah para tentera ketika mereka mara ke dalam bandar.

IOF mengerahkan lebih banyak bantuan ketenteraan dari kem pelarian Salem ke kem di Jenin, sambil menyerbu beberapa daerah di kawasan tersebut dengan melakukan operasi sabotaj di jalan-jalan dan harta benda warga, merosakkan kedai-kedai perdagangan dan menghancurkan bahagian hadapan kedai-kedai mereka.

IOF mengelilingi hospital-hospital di dalam bandar dan menghalang pergerakan pasukan perubatan dan pertolongan cemas, dalam usaha yang semakin meningkat untuk menghalang kerja pasukan perubatan, di mana ini dianggap sebagai jenayah perang antarabangsa.

Bulldozer Israel meratakan beberapa jalan di sekitar kem Jenin, merosakkan infrastruktur, dan menghancurkan beberapa kenderaan.

Empat warga Palestin gugur syahid semasa serbuan IOF di Jenin pagi ini.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Aida