Categories
Berita Semasa

Para Pejuang Palestin Hadir Memberi Penghormatan Terakhir Kepada Para Syuhada Di Kem Tulkarm Dan Berikrar Akan Membalas Dendam

Khamis, 28-12-2023 – Pengebumian syuhada Kem Tulkarm di Tebing Barat,pada petang Isnin yang lalu, menyaksikan penyertaan dan kehadiran terbesar serta luar biasa oleh pejuang  dari pelbagai kumpulan pejuang Palestin. Mereka hadir dengan memakai pakaian seragam tentera dan membawa bersama mesin-gun.  Berdasarkan video yang tersebar di dalam media sosial, dalam acara itu, mereka turut melafazkan ikrar untuk membalas dendam terhadap pencerobohan yang dilakukan dan menuntut balas darah saudara mereka yang syahid.

Semenjak bermulanya pencerobohan penjajah haram Zionis terhadap Tebing Barat dan Gaza, bandar Tulkarm dan kem pelariannya sendiri, Nour Shams, telah menerima lebih daripada 50 syahid daripada keseluruhan 301 syahid yang menjadi korban di Tebing Barat.

Sumber tempatan turut melaporkan, telah berlaku tembakan yang menyasarkan pasukan penceroboh tentera haram Zionis di Pintu Shweika, utara Tulkarm, pada pagi Isnin yang lalu.

Hal ini merupakan kesinambungan kejadian pada Ahad, di mana Kem Nour Shams telah menyaksikan serbuan dan pertempuran ganas, yang mengakibatkan sebuah kenderaan tentera penceroboh musnah akibat daripada serangan bom buatan sendiri, yang turut mengakibatkan lima dari warga Palestin syahid.

Peningkatan sokongan untuk melaksanakan tindakan bersenjata bagi mempertahankan diri dan tanah air warga Palestin, dilaporkan terus meningkat dari hari ke hari yang akhirnya membawa kepada kejadian-kejadian semasa yang berlaku di Tebing Barat.

Hasil tinjauan yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Dasar dan Tinjauan Palestin baru-baru ini juga mendapati peratusan sokongan terhadap tindakan bersenjata meningkat sebanyak sepuluh peratus berbanding dapatan tiga bulan lalu.

Menurut tinjauan pendapat, lebih daripada 60% mengatakan bahawa ia adalah cara terbaik untuk menamatkan pencerobohan yang berterusan terhadap warga Palestin, dan peratusan ini turut meningkat di Tebing Barat sehingga menghampiri 70% undian.

Oleh itu perlu diingat, bahawa majoriti warga Palestin di Tebing Barat juga percaya bahawa membentuk kumpulan bersenjata di bandar yang terdedah kepada serangan penceroboh haram adalah cara paling berkesan untuk memerangi keganasan para penceroboh.

sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ahmed Al-Marsogi