
Isnin, 5-2-2024 – Sekumpulan pejuang dan aktivis Baitulmuqaddis telah menyeru orang ramai menunaikan solat subuh pada hari Jumaat di halaman Masjid Al-Aqsa dan berada di tapak suci itu untuk menuntut penarikan balik sekatan dan kepungan yang dikenakan ke atasnya.
Seruan pada hari Khamis menekankan keperluan pengerahan dan lawatan kerap ke Masjid Al-Aqsa bagi mempertahankan tapak suci itu dalam menghadapi rancangan tentera Zionis dan penceroboh warga Israel untuk merobohkannya bagi pembinaan kuil yang didakwa mereka.
Seruan untuk mematahkan kepungan berterusan ke atas Masjid Al-Aqsa telah diperbaharui oleh aktivis yang menekankan bahawa mobilisasi rakyat Palestin di Baitulmuqaddis yang dijajahi dan umumnya wilayah Palestin yang dijajahi semenjak 1948, pasti akan membawa perubahan terutama apabila disertai dengan ketabahan dan keteguhan hati.
Aktivis Palestin juga menyeru penyertaan dalam perhimpunan besar-besaran yang akan bermula selepas solat Jumaat sebagai solidariti bersama Gaza dan untuk menunaikan solat Subuh di masjid-masjid di Tebing Barat, Baitulmuqaddis, dan wilayah Palestin yang dijajah pasca 1948, dalam menyahut seruan yang dilancarkan oleh Abu Ubaidah, jurucakap Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas.
Dalam konteks yang sama, Hamas telah menyeru rakyat Palestin untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan besar-besaran yang akan bermula pada hari Jumaat dari serata masjid di Baitulmuqaddis dan Tebing Barat untuk menyokong Gaza dan pihak pejuang kebebasan.
Polis Israel telah mengenakan langkah keselamatan yang ketat terhadap kemasukan jemaah Islam ke Masjid Al-Aqsa sejak permulaan perang genosid Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom