Hamas menuntut siasatan antarabangsa terhadap hukuman mati 27 tahanan Gaza oleh Israel

Selasa, 12-03-2024 – Pergerakan Hamas berkata bahawa pengesahan media Israel mengenai kematian kira-kira 27 tahanan Palestin dari Gaza di bawah penyeksaan, layanan buruk, dan penafian hak asasi mereka adalah bukti tambahan terhadap skop jenayah, pencabulan dan kekejaman yang dilakukan terhadap tahanan Palestin di dalam penjara Israel.

Pergerakan itu menegaskan bahawa “ini adalah jenayah perang yang memerlukan siasatan segera oleh institusi hak asasi manusia antarabangsa”.

Pergerakan itu menyeru Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah untuk melaksanakan tanggungjawab undang-undang dan kemanusiaan yang diberikan kepada mereka, dan untuk mengkaji semula keadaan tahanan memandangkan media Israel telah sengaja menyembunyikan bilangan tahanan dan maklumat keadaan sebenar mereka.

Sekurang-kurangnya 27 tahanan Palestin dari Semenanjung Gaza telah meninggal dunia di penjara Israel sejak 7 Oktober, ia dinyatakan dalam satu siasatan oleh akhbar harian Israel Haaretz, pada Khamis.

Menurut Haaretz, kebanyakan tahanan mati di pusat tahanan “Sde Teiman” di utara Negev dan “Anatot” yang terletak di timur laut Baitulmuqaddis di Tebing Barat.

Haaretz memetik tentera Israel sebagai mendakwa bahawa beberapa tahanan sama ada “mengalami keadaan kesihatan sebelum ini atau cedera semasa perang”.

Minggu lalu, Persatuan Tahanan Palestin berkata bahawa ia telah mengenal pasti 12 tahanan yang telah meninggal dunia di penjara Israel sejak 7 Oktober, berikutan kematian Rizeq Qideih, 78 tahun, diumumkan pada hari Sabtu.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom