Categories
Berita Semasa

Euro-Med menuntut campur tangan segera untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai Israel di Hospital Al-Shifa

Isnin, 25-03-2024 – Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediteranian meminta masyarakat antarabangsa untuk segera campur tangan bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang dilakukan oleh rejim Israel di kompleks perubatan Al-Shifa dan sekitarnya, yang telah menyebabkan jumlah yang syahid sekurang-kurangnya 100 orang Palestin, yang kebanyakannya dikenakan hukuman mati di lapangan dan penyeksaan fizikal yang disengajakan setelah ditangkap.

Badan pemantau itu berkata dalam satu kenyataan pada hari Rabu, ia telah menerima penyaksian baru daripada tahanan yang dibebaskan dan saksi mata mengenai hukuman mati lapangan Israel terhadap orang awam Palestin yang berpindah di dalam kompleks perubatan Al-Shifa di Bandar Gaza, sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan yang berterusan di kompleks untuk hari ketiga berturut-turut.

Ia menekankan keterangan M. KH, yang meminta untuk kekal tidak dikenali, memetiknya sebagai mengatakan bahawa dia ditahan selama lebih dari sembilan jam, di mana tentera Israel membawa tahanan di belakang kawasan bilik mayat hospital, sebelum tembakan terdengar, dan tentera kembali tanpa tahanan.

“Tentera menahan saya dan menggari saya di halaman hospital selama lebih dari sembilan jam setelah saya dipaksa menanggalkan pakaian. Saya perhatikan kira-kira empat kali tentera mengambil kumpulan tahanan, kira-kira 3 hingga 10 orang dalam setiap kumpulan, ke arah kawasan bilik mayat hospital. Bunyi tembakan (dua tembakan) terdengar, dan kemudian tentera kembali tanpa tahanan untuk menyeret kumpulan baru ke kawasan itu.”

Seorang lagi saksi yang turut meminta namanya tidak didedahkan dan merupakan salah seorang penduduk yang dipindahkan yang dapat meninggalkan kompleks perubatan Al-Shifa dalam beberapa jam terakhir, mengesahkan kepada pasukan Euro-Med bahawa dia melihat pasukan Israel membawa 8 hingga 10 orang awam Palestin ke kawasan bilik mayat kompleks Al-Shifa, kemudian dia mendengar suara tembakan senjata berat sebelum pasukan Israel kembali tanpa mereka.

Euro-Med menyatakan kebimbangan mereka terhadap nasib orang awam ini dan memberi amaran terhadap kemungkinan mereka dikenakan hukuman mati, mengingatkan pembunuhan 100 rakyat Palestin di dalam dan sekitar kompleks perubatan Al-Shifa sejak ia diserang semula pada malam Isnin.

EuroMed menunjukkan bahawa tentera Israel mengaku terhadap pembunuhan 90 orang semasa operasi ketenteraan yang sedang berlangsung di kompleks perubatan Al-Shifa.

Pertubuhan hak asasi manusia menyeru pembentukan suruhanjaya siasatan antarabangsa terhadap jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh pasukan rejim Israel, termasuk penyeksaan fizikal dan menjatuhkan hukuman mati di luar mahkamah terhadap orang awam.

Ia menunjukkan bahawa Israel masih menahan ratusan warga, termasuk pesakit dan kakitangan perubatan yang tidak dapat bergerak, tanpa makanan, minuman, atau elektrik untuk hari ketiga berturut-turut, di tengah-tengah suasana intimidasi di bawah tembakan yang sengit dan berterusan.

Euro-Med juga menekankan bahawa tentera rejim menahan sekitar 320 orang, termasuk orang yang kehilangan tempat tinggal, pasukan perubatan, dan wartawan, yang dipaksa menanggalkan pakaian sepenuhnya dan diseksa semasa siasatan lapangan, sebelum membiarkan mereka kemudian berpakaian putih yang tipis dan mengangkut lebih separuh daripada mereka dengan trak tentera ke pusat tahanan Israel.

Pemantau itu menyatakan kebimbangan serius mengenai keadaan semasa di kompleks perubatan Al-Shifa dan bahaya yang dihadapi orang awam termasuk pesakit, pekerja kesihatan dan pelarian yang melarikan diri dari serangan rejim Israel, menekankan keperluan untuk melindungi hospital dan kemudahan perubatan, dan keperluan untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi antarabangsa yang berkaitan untuk menggerakkan usaha menghentikan serangan rejim Israel yang serius ke atas hospital-hospital di Semenanjung Gaza.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Suwaibah