Categories
Berita Semasa

Pertubuhan hak asasi manusia memberi amaran terhadap penyeksaan ke atas tawanan Walid Daqqa oleh Israel

Khamis, 21-03-2024 – Suruhanjaya Palestin bagi Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan serta Persatuan Tahanan Palestin (PPS) memberi amaran terhadap penyeksaan Israel ke atas tahanan uzur berusia 62 tahun, Walid Daqqa yang keadaan kesihatannya merosot secara mendadak di penjara Israel.

Kedua-dua kumpulan hak asasi manusia itu berkata dalam satu kenyataan bersama pada hari Rabu bahawa Daqqa telah berulang kali dipindahkan ke hospital, tanpa maklumat lanjut mengenai keadaan kesihatannya yang terkini.

Kenyataan itu menunjukkan bahawa Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) telah sengaja menghalang lawatan oleh peguam dan pasukan undang-undang Daqqa dan menafikan haknya untuk berkomunikasi dengan keluarganya.

Kenyataan itu menambah bahawa IPS memaklumkan pada hari Rabu kepada peguam Daqqa bahawa dia dipindahkan dari klinik penjara Al-Ramleh ke Hospital Assaf Harofeh, selepas keadaan kesihatannya merosot.

Kenyataan dua pertubuhan hak asasi manusia itu menyatakan bahawa banduan warga emas Daqqa, yang berasal dari bandar Baqa al-Gharbiya di Tebing Barat, menghidap barah sumsum tulang yang jarang berlaku, menggambarkan keadaan kesihatannya sebagai amat kritikal.

Kedua-dua kumpulan itu menganggap pihak berkuasa Israel sebagai bertanggungjawab ke atas nasib tahanan tersebut, yang merupakan salah seorang banduan tertua dan dikenali di penjara Israel, kerana Israel telah menolak selama beberapa dekad untuk membebaskannya sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian pertukaran atau pembebasan.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom