Categories
Berita Semasa

7 Syahid Sejak Jumaat Lalu, Ditembak Oleh Peneroka Haram Israel Di Tebing Barat

Rabu , 24-04-2024 – Tujuh warga Palestin dilaporkan mati syahid sejak subuh Jumaat lalu, oleh peluru daripada tentera penjajah dan peneroka haram israel di Tebing Barat, selain laporan kematian seorang banduan di penjara penjajah haram Zionis, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, 75 rakyat turut cedera dalam tempoh yang sama. Di mana kebanyakannya terkena tembakan peluru hidup daripada penjajah dan peneroka haram Israel dan 14 daripadanya cedera parah.

Para syuhada menurut laporan ialah: asy Syahid Muhammad Issam Shahmawi (22 tahun), asy Syahid Muhammad Rasoul Daraghmeh (26 tahun), kedua-duanya dari Tubas, asy Syahid Jihad Afif Sidqi Abu Aliya (25 tahun) dari kampung Al-Mughir dekat Ramallah, dan syahid remaja Omar Ahmed Hamed (17 tahun) dari kampung Beitin dekat Ramallah, syahid tawanan pula ialah Abd al-Rahim Abd al-Karim Amer (59 tahun) dari Qalqilya. Manakala syuhada yang lain ialah Yazan Muhammad Fawzi Shtayyeh (17 tahun) dari Nablus, asy Syahid Abd al-Rahman Maher Bani Fadel (30 tahun), dan asy Syahid Muhammad Ashraf Bani Jameh (21 tahun) dari Khirbet al-Tawil, selatan Nablus. Beliau menjelaskan bahawa jumlah syahid di Tebing Barat, sejak 7 Oktober lalu, telah mencecah 468 syahid, dan lebih 4,800 rakyat cedera.

Berbeza di Semenanjung Gaza, pencerobohan penjajah Israel yang berterusan sejak 7 Oktober lalu telah membawa kepada kematian kira-kira 33,800 rakyat dan kecederaan lebih 76,400 rakyat. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, serangan oleh peneroka haram dan tentera penjajah juga turut meningkat di Tebing Barat, terutamanya di wilayah Nablus dan Ramallah, di mana kumpulan peneroka pelampau membakar rumah dan kenderaan di beberapa kampung dan bandar. Malah peneroka-peneroka haram ini turut menyerang rakyat dan harta benda mereka, menyebabkan krisis kemanusiaan dan kerugian material yang besar.

sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ahmed Al-Marsogi