Categories
Berita Semasa

Perarakan besar-besaran di Tebing Barat, mengecam pembunuhan Ismail Haniyeh

Selasa, 06-08-2024 – Orang ramai mengambil bahagian dalam perarakan di beberapa bandar dan pekan di Tebing Barat pada petang Rabu, mengecam pembunuhan Israel terhadap Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Perarakan besar-besaran diadakan selepas solat Zuhur di Ramallah, al-Khalil, Nablus, Tulkarem dan Tubas. Para peserta melaungkan slogan meratapi kesyahidan Ismail Haniyeh dan menyeru penentangan, serta menuntut tindak balas yang tegas terhadap jenayah pembunuhan itu.

Di Nablus, satu perarakan besar-besaran telah dianjurkan oleh Pergerakan Hamas di peringkat tertinggi. Ia bermula selepas solat Zuhur dari Bulatan al-Shuhada.

Semasa perarakan itu, pegawai kanan Hamas di Nablus, Sheikh Maher Al-Kharaz, meratapi pemimpin syahid Ismail Haniyeh dan berkata, “Syuhada adalah pengakhiran hidup yang paling indah. Hamas mempersembahkan pemimpinnya sebagai syahid di hadapan para tentera,” menegaskan bahawa “Darah Haniyeh adalah seperti darah rakyat Palestin kita di Semenanjung Gaza. Kebanyakan ahli keluarganya mati syahid di Gaza seperti banyak keluarga di semenanjung itu.”

Di Ramallah, peserta dalam perarakan yang bermula di pusat bandar melaungkan slogan marah, mengecam jenayah Israel membunuh Haniyeh, selain slogan yang menyeru kebangkitan besar-besaran menentang penjajahan Israel.

Perarakan besar-besaran di Tubas dan Tulkarem dilancarkan pada waktu petang. Peserta dalam kedua-dua perarakan itu mengecam jenayah pembunuhan tersebut, menyeru sokongan terhadap pergerakan pejuang kebebasan, dan berikrar meneruskan penentangan.

Di al-Khalil, perarakan bermula dari Masjid Al-Hussein menuju kawasan Bab al-Zawiya di pusat bandar, mengecam pembunuhan Haniyeh di tengah-tengah laungan menyeru pergerakan di Tebing Barat untuk mengambil tindakan terhadap jenayah itu.

Sementara itu, pertempuran sengit meletus di antara orang awam dan tentera penjajah Israel selepas perarakan tiba di kawasan Bab al-Zawiya, di mana tentera Israel melepaskan gas dan bom gegaran ke arah rakyat Palestin, apabila pertempuran itu meluas ke beberapa kawasan di bandar itu.

Mogok umum ini merebak ke seluruh Tebing Barat sebagai mesej berkabung dan mengutuk pembunuhan ketua Hamas Ismail Haniyeh, selepas pengisytiharan daripada Hamas dan pasukan serta puak Palestin yang lain. Hari itu juga diumumkan sebagai hari berkabung dan menurunkan bendera oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom