OCHA: Bilangan Kanak-kanak Palestin yang Dibunuh Tentera Israel Meningkat Tiga Kali Ganda

Khamis , 22-08-2024 – Jumlah kanak-kanak Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel meningkat hampir tiga kali ganda sejak 7 Oktober berbanding 10 bulan sebelumnya, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dalam laporan yang dikeluarkan pada hari Rabu.

Jumlah kanak-kanak Palestin yang cedera akibat tembakan peluru hidup oleh tentera Israel meningkat lebih daripada dua kali ganda sejak 7 Oktober berbanding 10 bulan sebelumnya (1,411 berbanding 615), kata laporan itu.

“Antara 7 Oktober 2023 dan 12 Ogos 2024, 594 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, selain dua yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami sebelum 7 Oktober.”

“Ini termasuk 577 dibunuh oleh tentera Israel, sepuluh oleh penduduk haram Israel, dan tujuh masih tidak diketahui sama ada pelakunya adalah tentera atau penduduk haram Israel.”

Angka kematian rakyat Palestin akibat perang genosid Israel di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada hampir 40,000, kata Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, tentera Israel membunuh 36 orang dan mencederakan 54 yang lain, menjadikan jumlah kematian kepada 39,965 dan kecederaan kepada 92,294 sejak perang Israel meletus pada awal Oktober 2023.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom