Categories
Berita Semasa

Hamas: Pencerobohan Penjara Ofer Oleh Israel Adalah Jenayah Kejam

Khamis, 20/02/2025 – Pergerakan Hamas mengecam tindakan Israel menceroboh sel tahanan rakyat Palestin di Penjara Ofer dan menyerang mereka, menyifatkannya sebagai satu jenayah kejam yang mencerminkan keganasan rejim Zionis.

“Serangan ini merupakan sebahagian daripada kezaliman berterusan Israel terhadap tahanan Palestin serta satu percubaan terdesak untuk memulihkan maruahnya yang tercalar,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Hamas turut menyeru masyarakat antarabangsa supaya menzahirkan kecaman dan mendedahkan “jenayah tidak berperikemanusiaan” yang dilakukan Israel terhadap tahanan Palestin.

Terdahulu, Pejabat Media Tahanan melaporkan bahawa unit khas penjara Israel telah menyerbu salah satu bahagian di Penjara Ofer, yang terletak di barat Ramallah, Tebing Barat yang diduduki, lalu menyerang para tahanan.

“Para tahanan telah dipukul dan disembur dengan gas pemedih mata,” menurut kenyataan Pejabat Media Tahanan.

Menurut organisasi hak asasi manusia Palestin, lebih daripada 10,000 rakyat Palestin kini ditahan di penjara-penjara Israel.

Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin serta Persatuan Tahanan Palestin turut menegaskan bahawa Perkhidmatan Penjara Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan dan kebajikan ribuan tahanan di Penjara Ofer.

Penterjemah : Ezatul