
Selasa, 25/02/2025 – Seorang rakyat telah terbunuh dan beberapa yang lain didapati cedera akibat tembakan tentera penjajah Israel, hari ini, Ahad, di timur Kota Gaza, akibat pencabulan berterusan gencatan senjata oleh kerajaan haram Israel.
Sumber tempatan melaporkan bahawa tentera penjajah telah melepaskan tembakan ke arah sekumpulan rakyat di Jalan Al-Shaaf, timur Gaza, membunuh seorang daripada mereka dan mencederakan yang lain.
Dalam kejadian itu, pasukan penjajah melepaskan tembakan ke arah kenderaan pacuan milik kakitangan bantuan di timur Rafah sehingga mengakibatkan ia terbalik semasa percubaan untuk menjauhkan diri dari jarak tembakan penjajah, sekaligus mengakibatkan kematian seorang penumpangnya dan kecederaan 4 yang lain.
Dalam laporan berasingan, Kementerian Kesihatan mengumumkan ketibaan 10 syuhada yang berjaya dibawa ke hospital Gaza dalam tempoh 24 jam yang lalu. Ia sekaligus mengesahkan bahawa jumlah korban pencerobohan Israel telah meningkat kepada 48,339 syahid dan 111,753 cedera sejak 7 Oktober 2023.
Dalam kenyataan itu, pihak kementerian menegaskan bahawa sebilangan mangsa masih berada di bawah runtuhan dan di jalan raya, namun malangnya ambulans dan krew pertahanan awam tidak dapat menghubungi mereka.
Penterjemah : Halimah