
Jumaat, 07/03/2025 – Pergerakan Hamas menyeru masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta organisasi hak asasi manusia dan kemanusiaan supaya mengambil tindakan segera bagi menghentikan dasar kebuluran Israel terhadap Semenanjung Gaza, yang disifatkan sebagai jenayah perang.
Dalam kenyataan pada hari Selasa, Hamas memaklumkan bahawa Israel telah menutup pintu masuk ke Gaza untuk hari ketiga berturut-turut, sekali gus menghalang kemasukan makanan, bantuan perubatan dan bantuan lain, yang jelas melanggar perjanjian gencatan senjata.
“Tindakan menghalang bantuan masuk ke Gaza adalah jenayah perang yang berlaku di hadapan mata dunia, yang seterusnya memburukkan lagi krisis kemanusiaan.”
“Masyarakat antarabangsa, PBB, serta organisasi hak asasi manusia dan kemanusiaan mesti segera bertindak untuk menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan yang sistematik serta tidak pernah berlaku ini. Pemimpin Israel perlu dibawa ke muka pengadilan sebagai penjenayah perang, dan bantuan kemanusiaan serta bahan perubatan hendaklah dibenarkan masuk dengan segera.”
Sementara itu, Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, berkata penggantungan penghantaran bantuan oleh Israel mengancam nyawa kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza yang sudah pun keletihan akibat peperangan.
Penterjemah : Ezatul