
Rabu, 26/03/2025 – Direktorat Pertahanan Awam Gaza memberi amaran bahawa lebih 50,000 penduduk di Al-Baraksat, barat Rafah, kini berada dalam keadaan bahaya selepas dikepung oleh tentera penjajah Israel.
Mereka turut melaporkan bahawa pasukan penyelamat mereka terperangkap ketika cuba membantu petugas Bulan Sabit Merah, yang kehilangan komunikasi dan mengalami kecederaan akibat serangan bertubi-tubi sejak pagi. Pertahanan Awam menggesa Palang Merah serta organisasi kemanusiaan antarabangsa untuk segera bertindak bagi melindungi penduduk dan petugas yang terperangkap.
Dalam perkembangan lain, ratusan penduduk di kejiranan Al-Sultan, barat Rafah, sekali lagi dipaksa meninggalkan kediaman mereka. Mereka terpaksa berjalan kaki dalam jarak yang jauh di bawah serangan udara berterusan selepas tentera Israel menyebarkan risalah mengarahkan mereka berpindah, dengan alasan kawasan itu kini menjadi “zon pertempuran berbahaya”.
Majlis Perbandaran Rafah pula menerima pelbagai panggilan kecemasan daripada penduduk yang terperangkap di dalam rumah mereka ketika serangan berterusan. Penduduk berdepan serangan bertalu-talu, manakala pasukan perubatan dan penyelamat dihalang daripada membantu mangsa yang cedera, menyebabkan usaha menyelamat dan memberikan rawatan hampir mustahil dilakukan.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Majlis Perbandaran Rafah menegaskan bahawa keadaan kemanusiaan di bandar itu semakin meruncing. Ribuan keluarga dipaksa melarikan diri dengan berjalan kaki dalam bulan Ramadan, tanpa sempat membawa barang keperluan mereka, hanya untuk menyelamatkan nyawa.
Sejak 18 Mac, Israel kembali melancarkan serangan kejamnya di Gaza, mengorbankan lebih 670 penduduk Palestin dan mencederakan 1,132 yang lain—kebanyakannya wanita dan kanak-kanak—menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza.
Penterjemah : Ezatul