
Khamis, 17/04/2025 – Pergerakan Hamas menyatakan bahawa serangan ganas Zionis terhadap Gaza masih berterusan, dengan sokongan Amerika Syarikat dan sikap membisu masyarakat antarabangsa.
Hamas menggesa semua negara, khususnya negara Arab dan Islam, menyertai minggu demonstrasi global bertemakan “Gaza Menjerit” bagi menarik perhatian terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terkepung.
“Kami seru semua pihak gunakan apa saja cara minggu ini untuk sokong Gaza, kecam serangan, dan desak hentikan perang ini. Tunjukkan solidariti melalui perarakan, piket, dan protes di seluruh dunia,” kata Hamas dalam kenyataan pada Selasa.
Hamas juga menetapkan 18 hingga 20 April (Jumaat hingga Ahad) sebagai Hari Kemarahan Global terhadap penjajahan, sokongan AS, dan sikap membisu antarabangsa.
Hamas turut menyokong seruan rakyat dan kesatuan sekerja di seluruh dunia, dan mengajak semua pihak jadikan 22 April (Selasa) sebagai hari mogok pelajar dan pekerja, di universiti, sekolah dan institusi kerja, sebagai sokongan kepada Gaza.
Hamas berkata Israel masih menghalang kemasukan makanan, ubat, dan bahan api ke Gaza, dan turut menyerang telaga air dan loji rawatan air.
Keadaan ini telah menyebabkan krisis kemanusiaan terhadap lebih 2.25 juta penduduk Gaza. Pada masa sama, pembunuhan beramai-ramai terus berlaku, dirancang oleh pemimpin Israel, dengan masyarakat antarabangsa terus berdiam diri.
Hamas menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa bertindak segera untuk hentikan dasar kebuluran dan benarkan kemasukan bantuan makanan dan perubatan ke Gaza.
Akhir sekali, Hamas menyeru negara Arab dan Islam – kerajaan, rakyat dan parti politik – untuk ambil pendirian tegas dan hentikan sekatan ke atas Gaza.
Penterjemah : Ezatul