Categories
Berita Semasa

Hamas: Tahanan Israel Tidak Akan Pulang Hanya Disebabkan Tekanan Tentera

Jumaat, 18/04/2025 – Gerakan Perjuangan Hamas dalam satu kenyataan,  mengesahkan bahawa para tawanan yang ditahan oleh mereka di Semenanjung Gaza tidak akan dibebaskan melalui tekanan mahupun serangan tentera. 

Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan petang Ahad itu, pergerakan itu berkata, “Peningkatan serangan Zionis terhadap orang awam adalah mesej jenayah berdarah yang bertujuan untuk memberikan tekanan ketenteraan ke atas Hamas.  Ianya juga bertepatan dengan ketibaan delegasi Hamas di Kaherah, yang memulakan rundingan, serta membentangkan cadangan baru.”

Hamas turut menegaskan bahawa,tanpa perjanjian pertukaran tawanan,  Netanyahu dan kerajaannya tidak akan mampu berbuat apa-apa  dalam isu itu. Oleh itu, meningkatkan serangan pada ketika ini, hanyalah satu bentuk perjudian yang akan mengorbankan tahanannya sendiri.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa banduan tidak akan pernah dikembalikan melalui serangan ketenteraan, sebaliknya melalui keputusan yang enggan dibuat oleh Netanyahu. 

Dalam pengumuman sebelum itu, pada petang Sabtu yang lalu, Hamas menyatakan bahawa pemimpinnya, Khalil al-Hayya, telah pergi ke ibu kota Mesir, Kaherah, sebagai respons kepada jemputan dari Republik Arab Mesir.

Pergerakan itu menambah lagi bahawa delegasinya akan bertemu dengan pengantara dari Qatar dan Mesir, sebagai sebahagian daripada usaha yang berterusan bagi mencapai persetujuan untuk menghentikan pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin. 

Pada awal Mac, fasa pertama gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan antara Hamas dan Israel telah selesai. Perjanjian itu, yang berkuat kuasa pada 19 Januari 2025, diurus oleh Mesir dan Qatar dan disokong oleh Amerika Syarikat. Walaupun Hamas telah mematuhi keseluruhan syarat bagi fasa pertama, tetapi Netanyahu (yang dikehendaki oleh pihak keadilan antarabangsa) sengaja mengelak untuk memulakan fasa kedua.

Malah gabungan pemerintahnya telah mengambil tindakkan melampau dengan meneruskan perang dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, yang bermula pada 7 Oktober 2023, dan mengakibatkan kematian syahid dan kecederaan lebih daripada 166,000 rakyat Palestin, merangkumi kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan lebih daripada 14,000 yang lain dilaporkan hilang.

Penterjemah : Halimah