Categories
Berita Semasa

Al-Hams: Israel Halang Bekalan Perubatan Masuk Ke Hospital Gaza

Selasa, 22/04/2025 – Dr Marwan Al-Hams, Pengarah Hospital Lapangan di Gaza, berkata pada hari Ahad bahawa rejim Israel sedang mensasarkan semua aspek sektor perubatan di Gaza, termasuk kemudahan hospital dan kakitangan—baik tempatan mahupun asing.

Dalam kenyataan media, Al-Hams menegaskan bahawa Israel sengaja menghalang kemasukan bekalan perubatan penting, dengan tujuan untuk meruntuhkan sistem kesihatan Gaza secara sistematik.

Beliau juga menekankan bahawa langkah-langkah ini telah memberikan beban yang sangat berat kepada infrastruktur perubatan Gaza yang sudah pun musnah akibat konflik.

Tentera Israel meneruskan kempen ketenteraannya pada 18 Mac 2025 dengan melancarkan serangan udara baru di seluruh Gaza, mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,827 rakyat Palestin terkorban dan 4,828 lagi cedera. Peningkatan serangan ini berlaku selepas perjanjian gencatan senjata yang dimediasi oleh Amerika Syarikat, Mesir, dan Qatar, yang berlangsung hampir dua bulan, gagal dipertahankan.

Dengan sokongan berterusan daripada Amerika Syarikat, Israel telah melancarkan serangan ketenteraan berterusan ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023. Serangan ini telah mengorbankan lebih daripada 168,000 rakyat Palestin dan menyebabkan kecederaan kepada ramai lagi—kebanyakannya wanita dan kanak-kanak—selain lebih daripada 14,000 orang yang masih hilang, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Penterjemah : Ezatul