Categories
Berita Semasa

Delegasi Pimpinan Hamas Bertemu Menteri Luar Turki Bincang Kemajuan Usaha Gencatan Senjata

Selasa, 22/04/2025 – Delegasi pimpinan Hamas yang diketuai oleh Mohammad Darwish, pengerusi majlis kepimpinan pergerakan telah bertemu dengan Menteri Luar Turki Hakan Fidan di Ankara untuk membincangkan usaha menamatkan serangan ketenteraan rejim Israel yang berterusan ke atas Gaza.

Pertemuan berlangsung selepas dari sesi mesyuarat sebelumnya dengan ketua perisikan Turki Dr. İbrahim Kalın. Perbincangan memberi fokus terhadap visi Hamas untuk bagaimana mencapai perjanjian yang komprehensif melibatkan isu gencatan senjata, pertukaran tahanan, pembinaan semula, dan penarikan balik sekatan Israel terhadap Gaza

Menurut Hamas, delegasi mereka menimbulkan kebimbangan dan kerisauan terhadap tindakan genosida berterusan terhadap rakyat Gaza, kebuluran yang disengajakan, dan pemindahan paksa yang dipimpin oleh kerajaan rejim Netanyahu.

Menteri Luar Fidan menyatakan Turki membantah keras tindakan Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata terhadap rakyat Palestin dengan menyekat saluran bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Beliau menekankan keperluan mendesak bagi masyarakat antarabangsa untuk memastikan penghantaran makanan, air, dan bekalan penting sampai kepada orang awam yang terkepung di Gaza.

Fidan juga mengulangi pembantahan Turki terhadap usaha untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka dan menegaskan sokongan berterusan Ankara terhadap perjuangan Palestin untuk mencapai kebebasan dan kemerdekaan.

Mesyuarat itu juga membincangkan berkenaan peningkatan operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki, termasuk serangan berulang ke atas Masjid Al-Aqsa.

Kedua-dua pihak juga membincangkan usaha perdamaian dalaman Palestin, termasuk cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan nasional atau jawatankuasa sokongan awam di Gaza, seperti yang dicadangkan dalam perbincangan pengantaraan Mesir baru-baru ini. Menteri Luar Fidan mengesahkan kesediaan Turki untuk menyumbang kepada inisiatif ini di dalam apa cara yang mungkin.

Penterjemah : Hj Fariz