Categories
Berita Semasa

3 Syahid, 12 Cedera Dalam Serbuan As Ke Atas Yaman.

Khamis, 24/04/2025 – Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Yaman mengesahkan bahawa tiga rakyatnya terbunuh manakala 12 yang lain cedera, menurut angka awal, akibat pengeboman dan pencerobohan AS di kawasan kejiranan Farwa dan pasar terkenal di ibu kota, Sana’a. Media Yaman turut melaporkan bahawa Amerika Syarikat melancarkan pencerobohan terhadap bandar dan wilayah di Yaman pada petang Ahad. Ini menjadikan lebih daripada 10 serangan telah dilancarkan ke atas Hodeidah, Marib dan Sana’a. 

TV Al Masirah pula melaporkan  dalam satu kejadian, Amerika melancarkan serangan di Pulau Kamaran di Hodeidah, dan tiga serangan yang lain pula menyasarkan Daerah Al Jawf di Marib. Jelas bahawa pencerobohan AS kali ini menyasarkan ibu kota Yaman, Sana’a. Pada  Sabtu yang lalu, tiga warga Yaman juga didapati terbunuh dalam serbuan yang dilancarkan oleh pesawat perang AS ke atas ibu negara Yaman.

Dilaporkan bahawa pesawat perang AS melancarkan sebanyak 29 serangan ke atas ibu kota Yaman, Sanaa, Amran, Ma’rib, wilayah barat Yaman Hodeidah, Pulau Kamaran di Hodeidah serta Daerah Harf Sufyan di Daerah Amran pada hari tersebut. 

Beberapa minggu lalu juga, Amerika Syarikat melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran menentang pergerakan Ansarullah di Yaman, sekaligus mengancam untuk meneruskan serangan udara melainkan kumpulan itu berhenti menyasarkan perkapalan berkaitan Israel di Laut Merah.

Walaupun begitu di sebalik ancaman ini, kumpulan Ansarullah tetap meneruskan serangannya, menyasarkan kawasan di dalam Israel dan kapal di Laut Merah yang menuju ke sana, sebagai tindak balas kepada perang pemusnahan yang berterusan yang disambung semula Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak 18 Mac yang lepas.

Penterjemah : Halimah