
Isnin, 28/04/2025 – Kementerian kesihatan Gaza telah mengumumkan bahawa Hospital Pediatrik Al-Dorra, yang terletak di timur bandar Gaza sudah berhenti beroperasi sepenuhnya.
Dalam satu kenyataan pada Khamis lalu, kementerian itu berkata bahawa hospital itu mengalami kerosakan yang teruk akibat serangan Israel dua hari lepas.
Kementerian itu menambah bahawa peluru berpandu Israel telah meledak di tingkat atas hospital, mengakibatkan kerosakan teruk pada unit rawatan rapi dan memusnahkan sistem panel solar yang membekalkan fasiliti tersebut dengan kuasa letrik.
Menurut kementerian itu lagi, serangan Israel ke atas fasiliti perubatan di Gaza telah melumpuhkan sepenuhnya 37 pusat perubatan serta hospital-hospital. Ini menyebabkan mereka tiada lagi kemampuan untuk memberikan sebarang perkhidmatan perubatan kepada pesakit.
Israel telah menyasarkan kemudahan awam secara sistematik, termasuk hospital, sekolah dan tempat ibadat di dalam perang berterusannya di Semenanjung Gaza.
Penterjemah : Hj Fariz