
Selasa, 29/04/2025 – Pesawat pejuang rejim Israel telah menyerang pinggir bandar kawasan selatan Beirut di Dahiya pada petang Ahad lalu, selepas mengeluarkan amaran tentang pengeboman yang akan berlaku di kawasan itu.
Kepulan asap besar terlihat di kawasan itu selepas serangan yang menyasarkan bangunan berhampiran dengan tiga butir bom. Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kira-kira sejam sebelum serangan itu, jurucakap tentera rejim pendudukan Israel mengeluarkan amaran mengatakan akan berlaku serangan udara ke atas apa yang didakwanya sebagai “fasiliti Hizbullah” di kawasan Hadath dan menggesa penduduk tempatan supaya tidak mendekati sekurang-kurangnya 300 meter dari tapak tersebut.
Awal hari ini, kementerian kesihatan Lubnan memaklumkan bahawa seorang rakyat terbunuh dalam serangan dron Israel di bandar Halta di tenggara negara itu. Sejak gencatan senjata di Lubnan berkuat kuasa pada 27 November 2024, tentera Israel telah membunuh lebih 194 rakyat dan mencederakan 486 yang lain dalam serangan di kawasan berbeza di negara Arab itu.
Penterjemah : Hj Fariz