Categories
Berita Semasa

Delegasi Hamas Bincang Usaha Gencatan Senjata Gaza Bersama Menteri Luar Turki

Selasa, 29/04/2025 – Delegasi Hamas telah memberi taklimat kepada Menteri Luar Turki, Hakan Fidan, mengenai perkembangan terkini usaha menghentikan pencerobohan Israel di Gaza serta hasil lawatan terbaru pergerakan itu ke Kaherah.

Pertemuan yang berlangsung di Doha pada Ahad itu diketuai oleh pegawai kanan Hamas, Mohammed Darwish, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi Hamas.

Dalam kenyataan tersebut, Hamas memaklumkan bahawa kepimpinan mereka kini giat mengadakan siri lawatan dan pertemuan politik untuk membincangkan cadangan yang dikemukakan kepada para perantara, dengan matlamat mencapai perjanjian menyeluruh yang merangkumi gencatan senjata, pertukaran tahanan, bantuan kemanusiaan, dan usaha pembinaan semula Gaza.

Perbincangan turut menyentuh situasi kemanusiaan di Gaza yang semakin parah akibat dasar kelaparan dan sekatan makanan oleh penjajah Israel.

Delegasi Hamas turut mendengar penerangan mengenai usaha Turki untuk menamatkan perang dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin. Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berhubung dan berkoordinasi secara politik dalam tempoh mendatang bagi membantu menamatkan pencerobohan ke atas Gaza.

Terdahulu pada Ahad, Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, mengesahkan bahawa rundingan gencatan senjata berkaitan Gaza masih diteruskan. Beliau menekankan bahawa usaha masih giat dijalankan berdasarkan cadangan terbaru yang telah mendapat maklum balas Hamas.

Dalam kenyataan yang dipetik oleh “Sanad News Agency,” Sheikh Al Thani menyatakan bahawa Qatar terus berkoordinasi dengan Mesir dan rakan lain untuk meneruskan ke fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Sementara itu, serangan genosid Israel ke atas Gaza memasuki hari ke-41, di tengah-tengah kebuluran melampau dan keadaan hidup yang sangat teruk di kalangan pelarian di seluruh Semenanjung Gaza.

Sebelum ini, perantara dari Qatar dan Mesir telah mengemukakan cadangan baru untuk gencatan senjata jangka panjang di Gaza, yang dijangka bertahan antara lima hingga tujuh tahun. Menurut media Arab, cadangan itu termasuk pertukaran tahanan, di mana Hamas akan membebaskan semua tahanan Israel sebagai balasan pembebasan tahanan Palestin, penamatan perang, serta pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.

Qatar pernah memainkan peranan utama bersama Mesir dan Amerika Syarikat dalam mencapai perjanjian gencatan senjata sementara pada November lalu, yang merangkumi pertukaran tahanan pertama. Namun, rundingan runtuh selepas Israel meneruskan serangan.

Dalam sidang media bersama Hakan Fidan di Doha, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani menegaskan bahawa Qatar telah membincangkan serangan baru Israel ke atas Gaza dengan Turki.

Beliau mengulangi penolakan Qatar terhadap penggunaan kelaparan sebagai senjata oleh Israel ke atas rakyat Palestin, dan mengesahkan bahawa Qatar tetap meneruskan usaha perantara walaupun berdepan kempen fitnah.

Sheikh Al Thani menegaskan bahawa tujuan rundingan adalah untuk membebaskan tahanan dan menghentikan perang, sambil menyatakan bahawa pendekatan Qatar bersifat telus dan Hamas telah berulang kali menyatakan kesediaan membebaskan semua tahanan.

Beliau juga menolak tuduhan bahawa Qatar telah menghasut protes pelajar di Amerika Syarikat, menyifatkannya sebagai “tidak berasas”. Sheikh Al Thani menjelaskan bahawa hubungan Qatar dengan universiti di Amerika Syarikat hanya terhad kepada institusi yang berpangkalan di Doha, dan semua pembiayaan yang diberikan kepada institusi pendidikan atau penyelidikan dilakukan secara telus.

Menyentuh tentang peranan Qatar sebagai negara yang menyokong keamanan dan pernah menjadi perantara dalam banyak konflik, Sheikh Al Thani berkata bahawa Qatar kini menjadi sasaran kempen publisiti terancang oleh Israel.

Dalam kenyataannya, Menteri Luar Turki, Hakan Fidan, menyatakan bahawa kerjasama strategik Turki dan Qatar membantu menyokong kestabilan serantau. Beliau menuduh Israel melakukan pembersihan etnik di Gaza serta menghalang penghantaran bantuan makanan, walaupun rakyat Palestin bersedia untuk menerima gencatan senjata. Fidan turut menuduh Tel Aviv bersikap keras kepala.

Fidan merakamkan penghargaan kepada Qatar atas usaha perantaraan, sambil menekankan bahawa keutamaan kini adalah untuk menghidupkan semula gencatan senjata dan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Beliau juga menegaskan bahawa “kunci kepada keamanan” ialah dengan merealisasikan penyelesaian dua negara.

Mengenai Syria, Fidan menyatakan bahawa sekatan ke atas Damsyik menghalang kestabilan, dan Turki sedang bekerjasama dengan rakan-rakannya untuk membatalkannya. Beliau turut mengesahkan koordinasi bersama Qatar bagi menstabilkan Syria, membanteras keganasan, serta menolak sebarang campur tangan atau pemilihan senjata di luar kawalan kerajaan.

Fidan menzahirkan harapan agar Syria kelak menjadi sebuah negara yang menjamin hak sama rata kepada semua kumpulan etnik dan agama.

Lawatan Hakan Fidan ke Qatar memberi fokus kepada perbincangan isu dua hala dan serantau, khususnya berkaitan Palestin dan Syria.

Penterjemah : Ezatul