
Rabu, 30/04/2025 – Peneroka Haram Yahudi memusnahkan Sekolah Zanuta di selatan Al-Khalil pada hari Ahad manakala tentera Zionis (IOF) mengeluarkan arahan merobohkan telaga air dan plot pertanian di selatan bandar Al-Khalil.
Sekolah Rendah Campuran Zanuta adalah salah satu sekolah “Sumud dan Cabaran” yang terletak di timur bandar Ad-Dhahiriya, selatan Al-Khalil. Saksi melaporkan bahawa peneroka haram menyerang sekolah itu dan mencuri harta benda.
Ketua majlis kampung Zanuta, Fayez Al-Tal berkata, sebilangan peneroka haram memusnahkan bahagian sekolah yang telah dipulihkan dengan penyertaan majlis kampung dan penduduk setempat, sebagai persediaan menyambut pelajar kembali ke kelas.
Jelasnya, peneroka haram mencuri pintu besi dari bilik darjah, papan panel, dan sekatan antara bilik darjah sebelum memusnahkan sekolah.
Beliau menyatakan bahawa peneroka telah menyerang dan memusnahkan sekolah itu beberapa kali, dan telah berusaha untuk memindahkan penduduk kampung secara paksa dengan memusnahkan rumah mereka, menyerang mereka, dan menyasarkan harta benda mereka.
Pada November 2023, peneroka membakar dan memusnahkan sekolah itu selepas serangan berulang kali memaksa lebih 250 penduduk kampung meninggalkan rumah dan tanah mereka dan keluar secara paksa pada 28 Oktober 2023.
Penterjemah : Ameen