
Rabu, 14/05/2025 – Gerakan Hamas menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan antarabangsa untuk mengambil tindakan segera dan berkesan bagi memaksa rejim penjajah Israel membuka semula enam sekolah kendalian UNRWA di Baitulmaqdis yang Diduduki, selepas serbuan ganas yang membawa kepada pengusiran pelajar dan kakitangan serta penutupan sekolah.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada petang Khamis, Hamas mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang menyifatkan penutupan sekolah ini sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta satu serangan langsung terhadap agensi PBB.
“Tindakan jenayah ini berlaku dalam konteks perang menyeluruh oleh penjajah untuk menghapuskan kehadiran dan identiti rakyat Palestin di Baitulmaqdis, sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan kota suci itu sepenuhnya Yahudi,” ujar kenyataan tersebut.
Gerakan itu turut menyeru agensi-agensi PBB serta pertubuhan antarabangsa yang berkaitan untuk memberi tekanan segera agar sekolah-sekolah yang ditutup itu dibuka semula dan memastikan lebih daripada 800 pelajar Palestin dapat kembali meneruskan sesi pembelajaran mereka.
Terdahulu pada hari yang sama, pihak berkuasa Israel menyerbu enam buah sekolah di bawah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmaqdis Timur, dan memaksa pelajar, guru serta kakitangan pentadbiran mengosongkan premis secara paksa.
Dalam satu kenyataan media, UNRWA menyifatkan tindakan Israel itu sebagai pelanggaran serius terhadap keistimewaan dan kekebalan institusi PBB. Agensi itu menambah bahawa insiden tersebut memberikan kesan psikologi yang mendalam kepada pelajar-pelajar yang kini berisiko kehilangan hak mereka untuk mendapat pendidikan, sedangkan tahun akademik dijangka berakhir pada 20 Jun 2025.
UNRWA turut menjelaskan bahawa mereka terpaksa mengosongkan sekolah demi menjamin keselamatan lebih 550 pelajar berusia antara 6 hingga 15 tahun yang berada di lokasi semasa serbuan berlaku.
Penterjemah : Ezatul