Categories
Berita Semasa

PBB Tuntut Siasatan Segera Terhadap Jenayah Perang Israel di Gaza

Khamis, 05/06/2025 – Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis menyerang orang awam Palestin di pusat agihan bantuan di Semenanjung Gaza, menyifatkannya sebagai perbuatan “tidak berperikemanusiaan” yang mungkin merupakan jenayah perang.

Dalam kenyataan rasmi semalam, Türk mengecam tentera penjajah Israel (IOF) yang mensasarkan penduduk yang sedang mencari bantuan makanan. Beliau memberi amaran bahawa tindakan menyekat bantuan dan keperluan asas kepada orang awam secara sengaja boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang menurut undang-undang antarabangsa.

“Rakyat Gaza kini berada dalam situasi mustahil – sama ada mati kebuluran atau mati dibom ketika cuba mendapatkan makanan,” katanya.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, rejim Zionis telah menyekat lintasan bantuan selama lebih 90 hari, menyebabkan lebih 2.4 juta penduduk berada di ambang kebuluran akibat dasar kelaparan yang disengajakan.

IOF baru-baru ini mengaku telah melepaskan tembakan ke arah orang awam berhampiran pusat agihan bantuan di kawasan Al-Alam, Rafah, atas alasan “pergerakan mencurigakan.” Kawasan-kawasan ini yang digelar “zon penampan” kini menjadi lokasi maut, dengan orang ramai yang kelaparan terpaksa berdepan peluru berbanding makanan.

Keadaan kemanusiaan di Gaza terus meruncing apabila bantuan yang tiba terlalu sedikit dan tidak mencukupi. Proses agihan pula dikritik hebat oleh pertubuhan hak asasi dan badan antarabangsa, yang menyamakan laluan bantuan dipenuhi pagar berduri itu dengan ghetto zaman Nazi.

Sejak serangan besar-besaran rejim Israel pada 7 Oktober 2023, lebih 179,000 rakyat Palestin telah terkorban atau cedera – majoritinya wanita dan kanak-kanak. Lebih 11,000 masih hilang, manakala ratusan ribu lagi hilang tempat tinggal.

PBB kini mendesak siasatan antarabangsa dijalankan segera bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka keadilan.

Penterjemah : Ezatul